MELAKA: Perbincangan antara parti politik mengenai pembentukan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semakin hangat, dengan Pergerakan Pemuda UMNO dilihat memberi isyarat jelas supaya Barisan Nasional (BN) mempertimbangkan Perikatan Nasional (PN) sebagai rakan kerjasama.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata pendirian pergerakan itu kekal konsisten dalam soal penyatuan orang Melayu, termasuk menggesa kerjasama antara dua parti Melayu terbesar.
Beliau berkata, gagasan berkenaan menjadi antara asas yang mendorong Pemuda UMNO melihat kerjasama BN-PN sebagai pilihan yang wajar dipertimbangkan bagi menghadapi PRN Melaka.
“Pendirian Pemuda UMNO tetap sama sejak daripada sebelum ini. Orang Melayu perlu disatukan dan dua parti terbesar Melayu juga perlu disatukan,” katanya kepada BH, semalam.
Kenyataan itu hadir ketika perbincangan mengenai kemungkinan kerjasama BN dan PN semakin mendapat perhatian, termasuk dalam kalangan pengguna media sosial.
Sebahagian warganet turut menyuarakan pandangan supaya BN memilih PN, terutama selepas kedua-dua blok politik berkenaan dilihat berjaya mencapai persefahaman di Negeri Sembilan.
Dalam pada itu, Muhamad Akmal sebelum ini secara terbuka menyatakan beliau tidak akan bertanding pada PRN Melaka sekiranya BN memilih untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
Pendirian itu selari dengan sikap tegas beliau terhadap DAP yang menjadi salah satu komponen utama dalam PH.
Pada akhir tahun lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu turut mencadangkan supaya PN dibubarkan dan Muafakat Nasional (MN) dihidupkan semula ketika tercetus kemelut politik di Perlis.
Ketegasan beliau terhadap DAP turut menyaksikan Muhamad Akmal mengambil langkah meletakkan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka pada awal tahun ini.
Beliau menjelaskan keputusan itu dibuat atas prinsip untuk terus menentang DAP, selain menyifatkannya sebagai pendirian berkaitan maruah serta suara akar umbi.
Bagaimanapun, peletakan jawatan berkenaan tidak diterima kerajaan negeri apabila Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, menolak keputusan tersebut.










