Perpaduan Melayu Asas Penyatuan Rakyat Lebih Luas – Presiden PAS

AYER HITAM: Perpaduan orang Melayu perlu dijadikan asas kepada penyatuan rakyat Malaysia yang lebih luas tanpa menepikan mana-mana kaum di negara ini.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, perbezaan fahaman politik tidak sepatutnya menjadi punca kepada perpecahan yang berpanjangan.

Sebaliknya, beliau berkata, kerjasama politik perlu dibina bersama semua pihak yang bersedia untuk berbincang dan menolak sebarang bentuk sikap ekstrem demi kepentingan serta kestabilan negara.

“Pendekatan politik yang matang dan sejahtera hendaklah menjadi jalan dalam melakukan perubahan.

“Kuasa politik tidak sepatutnya dicapai melalui cara yang ekstrem atau menimbulkan kekacauan.

“Ia mestilah menerusi pendekatan yang tenang, baik dan matang demi menyelamatkan seluruh rakyat tanpa mengira kaum,” katanya menerusi satu hantaran di media sosialnya.

Beliau berkata demikian sempena Konvensyen PAS Johor yang berlangsung di Dewan Muafakat Ayer Hitam, di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi turut menekankan pentingnya usaha memerangi amalan rasuah dan salah laku dalam jentera pentadbiran negara.

Tegas beliau, pentadbiran yang baik dan berteraskan amanah mestilah berlandaskan nilai-nilai Islam, dengan keutamaan diberikan kepada kepentingan rakyat berbanding perebutan kuasa atau agenda peribadi.

Dalam pada itu, beliau turut mengumpamakan Malaysia seperti sebuah bahtera besar yang dinaiki oleh seluruh rakyat secara bersama.

“Jangan kerana kepentingan sendiri kita menebuk bahtera sehingga akhirnya semua pihak tenggelam.

“Marilah kita bersatu dalam satu bahtera untuk menyelamatkan negara dan memastikan masa depannya terus terpelihara,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles