KUALA LUMPUR: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) kini menumpukan usaha memperkukuhkan dan memperkemaskan jentera parti di semua peringkat sebagai langkah persediaan awal bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.
Presiden GERAKAN, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata parti itu telahpun selesai melaksanakan proses post-mortem secara menyeluruh berhubung keputusan PRN Negeri Sembilan yang berlangsung baru-baru ini.
”Hasil penilaian dan post-mortem tersebut akan dijadikan panduan penting bagi pihak parti menambah baik strategi, gerak kerja serta kesiapsiagaan di semua peringkat,” katanya.
Beliau berkata demikian demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pusat parti berkenaan, hari ini.
Menurutnya, bagi memastikan kelancaran perancangan tersebut, parti itu bakal memulakan Persidangan Perwakilan Negeri secara berperingkat di seluruh negara bermula September ini.
Seiring dengan persidangan itu, katanya, GERAKAN turut merancang pelancaran jentera pilihan raya di setiap negeri bagi memastikan persiapan logistik dan strategi dapat dilaksanakan lebih awal serta secara tersusun.
Dalam pada itu, jelasnya lagi, mesyuarat berkenaan turut memberi tumpuan khusus terhadap persediaan PRN Melaka akan datang dengan memberi penekanan kepada aspek organisasi dan akar umbi.
”Persediaan bagi menghadapi PRN Melaka akan dilaksanakan secara teratur, menyeluruh dan teliti.
“Fokus utama kita adalah untuk memastikan aspek organisasi, strategi, jentera serta kesiapsiagaan di peringkat akar umbi terus diperkukuhkan dari semasa ke semasa,” ujar beliau.
Mengulas mengenai hala tuju dan pembangunan dasar negara, GERAKAN turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada SEDAR Institute atas penerbitan buku bertajuk DASAR: Contemporary Malaysia – Issues, Policies and Pathways.
”Penerbitan ini merupakan satu usaha yang sangat penting dalam menyumbangkan idea, analisis mendalam serta cadangan dasar yang komprehensif terhadap pelbagai isu semasa demi hala tuju masa depan negara,” tambah Dominic.










