Pelaburan EHP: Felda Rugi 81 Peratus, Belum Terima Pulangan – Radzi Jidin

KUALA LUMPUR: Pelaburan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dalam syarikat perladangan Indonesia, Eagle High Plantations (EHP) mencatatkan kerugian nilai sehingga 81 peratus tanpa sebarang pulangan sejak 2016.

Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, pemilikan 37 peratus saham EHP bernilai RM2,300 juta yang dibeli pada harga 584 Rupiah sesaham kini dianggarkan hanya bernilai sekitar RM300 juta (111 Rupiah sesaham) akibat kejatuhan harga saham dan mata wang Rupiah.

“Saham EHP pernah jatuh ke paras terendah 50 Rupiah sesaham pada sekitar Jun 2024.

“Sepanjang tempoh hampir 10 tahun ini, FELDA tidak menerima sebarang pulangan,” katanya dalam satu hantaran menerusi media sosial pada Sabtu.

Menurut beliau, projek pelaburan itu asalnya dicadangkan oleh FGV Berhad sebelum dibatalkan dan diambil alih oleh FELDA menerusi pinjaman daripada syarikat milik Kementerian Kewangan, GovCo Holdings Berhad (GovCo) bernilai RM2,300 juta.

Dr Radzi menjelaskan, FELDA telah membayar RM166.8 juta bagi prinsipal hutang serta faedah setakat 13 Oktober 2025, namun baki hutang kepada GovCo masih tinggi iaitu berjumlah RM2,770 juta setakat 30 September 2025.

Beliau menambah, isu berkenaan dibangkitkan semula berikutan maklum balas serta ulasan secara langsung daripada Perdana Menteri baru-baru ini.

“Ini adalah satu gambaran umum untuk urus niaga pembelian saham EHP.

“Saya akan sentuh secara lebih mendalam, termasuk berkaitan put option dalam tulisan-tulisan selepas ini,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles