Hadi Beri Keterangan Polis Berhubung Artikel Minda Presiden PAS

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sudah memberikan keterangan kepada polis berhubung satu artikel yang diterbitkannya susulan laporan dibuat oleh penyokong DAP.

Perkara itu disahkan Setiausaha Politiknya, Mohd Syahir Sulaiman, yang berkata Ahli Parlimen Marang itu dipanggil untuk membantu siasatan dan memberikan keterangan di Kuala Lumpur minggu lalu.

Menurut Syahir yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS, beberapa laporan polis dibuat oleh penyokong DAP terhadap salah satu tulisan Abdul Hadi.

“Beberapa laporan telah dibuat oleh penyokong DAP terhadap salah satu artikel Hadi.

“Beliau telah memberikan kenyataan di Kuala Lumpur pada minggu lalu dan memberikan kerjasama penuh bagi membantu siasatan polis,” katanya memetik New Straits Times.

Syahir turut menegaskan Abdul Hadi tidak akan mengelak daripada proses undang-undang sekiranya siasatan membawa kepada tindakan pendakwaan.

“Beliau juga bersedia untuk menjawab di mahkamah sekiranya terdapat alasan untuk mendakwanya,” katanya.

Bagaimanapun, Syahir tidak mendedahkan tajuk atau kandungan artikel yang menjadi asas laporan polis berkenaan.

Tulisan tersebut dipercayai merupakan salah satu artikel Abdul Hadi yang diterbitkan menerusi kolum Minda Presiden PAS.

BBerkaitan

Latest articles