KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat memainkan peranan paling penting dalam menentukan sama ada sesuatu agenda reformasi kerajaan dapat diteruskan ke peringkat Jemaah Menteri, kata pemimpin Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Bekas Menteri Ekonomi itu berkata, sepanjang pengalamannya dalam kerajaan, beliau tidak mendapati Umno menunjukkan penolakan yang besar terhadap cadangan reformasi.
Namun begitu, Rafizi berpandangan sukar untuk mengharapkan Umno menjadi pencetus utama perubahan kerana parti berkenaan sudah lama menjadi sebahagian daripada sistem politik sedia ada.
Justeru, katanya, usaha reformasi perlu dipacu oleh Pakatan Harapan (PH), khususnya menerusi kepimpinan Perdana Menteri.
“Kalau kita mengharapkan Umno yang membawa reformasi dalam kerajaan, perkara itu tidak akan berlaku. Ia perlu dipandu PH melalui perdana menteri (Anwar),” katanya ketika muncul dalam episod terbaharu audiosiar Yang Berhenti Menteri.
Menurut Rafizi, idea berkaitan reformasi boleh dikemukakan sama ada oleh Perdana Menteri sendiri atau kementerian yang berkaitan.
Bagaimanapun, katanya, keputusan terakhir mengenai sesuatu cadangan, termasuk sama ada ia akan dibawa untuk pertimbangan Jemaah Menteri, tetap berada di tangan Perdana Menteri.
“Pada akhirnya, penentunya ialah perdana menteri,” katanya.
Rafizi turut mengaitkan perkara itu dengan keputusan Anwar untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), yang disifatkannya sebagai antara contoh jelas pengaruh Perdana Menteri dalam menentukan agenda perubahan kerajaan.
Beliau menyifatkan langkah berkenaan sebagai perkembangan positif, tetapi berkata keberkesanannya perlu dinilai berdasarkan tindakan susulan terhadap sistem pendidikan tinggi.
Katanya, pemansuhan Auku sepatutnya membuka ruang kepada pembaharuan yang lebih besar, termasuk usaha memberikan autonomi lebih luas kepada institusi pengajian tinggi awam.
Rafizi berkata perkara itu sudah disentuh dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang mencadangkan sebuah universiti awam dipilih sebagai projek perintis bagi pelaksanaan autonomi.
Beliau berkata usaha memperkenalkan cadangan tersebut turut mendapat penglibatannya ketika masih berada dalam kerajaan.
Menurutnya, autonomi universiti perlu dilihat secara menyeluruh dan bukan sekadar perubahan dari sudut pentadbiran.
Sebaliknya, ia perlu meliputi aspek kebebasan akademik serta keupayaan institusi mengurus pembiayaan masing-masing.
Auku yang berkuat kuasa sejak 1971 sebelum ini sering mencetuskan perdebatan, terutama berkaitan hak mahasiswa untuk berhimpun, menubuhkan organisasi dan menyatakan pendirian mengenai isu politik serta kepentingan awam.
Akta itu dipinda pada 2024 bagi memperluas ruang autonomi persatuan mahasiswa, termasuk dalam urusan mengumpul dana dan menjalankan pelbagai aktiviti.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pernah menyatakan bahawa Auku tidak akan dimansuhkan sepenuhnya.
Bagaimanapun, pendirian itu berubah susulan pengumuman terbaharu bahawa sebuah jawatankuasa bebas akan ditubuhkan bagi meneliti aspek berkaitan penggubalan undang-undang baharu sebagai pengganti Auku.










