Isu TH: Pas Sifatkan Tindakan Kerajaan Sekadar ‘Taktik Politik’ Mahu Tekan BN

KOTA BHARU: Tindakan kerajaan membangkitkan semula isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) disifatkan sebagai satu ‘lakonan’ dan taktik politik bertujuan mengenakan tekanan ke atas Barisan Nasional (BN).

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Laporan RCI TH sebenarnya telah pun siap disempurnakan sejak 31 Ogos 2022, namun timbul persoalan mengapa laporan tersebut disimpan begitu lama sebelum dibawa untuk diperbahaskan di Parlimen.

Menurut Ahli Parmilen Pasir Mas itu, langkah tergesa-gesa kerajaan membawanya ke Dewan Rakyat baru-baru ini bukan atas niat ikhlas untuk menyelesaikan isu, sebaliknya disengajakan demi kepentingan politik pimpinan semasa.

“Laporan RCI Tabung Haji ini sudah siap pada 31 Ogos 2022. Kenapa tiga tahun lepas tidak dibuka?

“Mengakulah bahawa pihak anda tergegas-gegas mahu membincangkan perkara ini kerana mahu menekan Barisan Nasional. Itu sahaja sebenarnya.

“Kononnya disebabkan BN sudah bekerjasama dengan kita di Johor dan Negeri Sembilan, anda mahu menyatakan bahawa ‘kita masih ada banyak fail yang boleh dibuka, dan Tabung Haji ini adalah yang pertama’. Sebab itulah sidang ini diadakan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu pencerahan video ceramah isu semasa yang dimuat naik di laman Facebook rasminya hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli turut mempertikaikan prosedur perbahasan isu berkenaan yang sekadar dijadualkan sebagai sesi penerangan menteri dan bukannya usul khas yang membolehkan sebarang tindakan atau undian diambil.

Jelasnya, tindakan pimpinan kerajaan yang tidak hadir semasa sesi perbahasan tersebut turut mencetuskan tanda tanya, sedangkan sesi itu dipanggil oleh Perdana Menteri sendiri.

“Semasa sidang dewan baru-baru ini, mengapa kita keluar dari dewan? Kerana kita tahu berada di dalam tidak memberikan sebarang faedah.

“Pertama, perbahasan ini dipanggil oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Namun apabila tiba hari untuk berbincang, beliau tidak hadir kerana menjalani pembedahan elektif.

“Apabila beliau tidak ada, kita minta ditangguhkan kerana beliau yang memanggil sidang tersebut. Kita ibarat bertamu ke rumah orang, tetapi tuan rumah pula tidak ada.

“Keduanya, apa yang dibahas baru-baru ini bukannya usul. Sepatutnya apabila Parlimen memanggil sidang khas, perlu ada usul supaya tindakan boleh diambil. Namun ini tidak, sebaliknya hanya sekadar sesi penerangan menteri. Selepas mendengar penerangan, makan karipap dan balik,” katanya.

Beliau menambah, situasi itu berbeza dengan perbahasan RCI Batu Puteh sebelum ini yang menyaksikan pihak kerajaan mengemukakan usul jelas bagi melaksanakan tindakan susulan terhadap syor suruhanjaya berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan pembangkang tidak pernah menolak sebarang usaha untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah atau menyeleweng dana TH, namun menyelar tindakan kerajaan yang menjadikan dewan mulia sebagai medan permainan politik.

BBerkaitan

Latest articles