KUALA LUMPUR: Malaysia mengecam sekeras-kerasnya keputusan rejim Israel mengeluarkan tender pembinaan bagi projek penempatan haram E1 di Tebing Barat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kawasan tanah di timur Baitulmuqaddis itu sejak sekian lama menjadi wilayah yang sangat kritikal bagi kelangsungan pembentukan sebuah negara Palestin yang merdeka.
Menurut beliau, sebarang usaha pembangunan di kawasan berkenaan akan memecahbelahkan Tebing Barat sekali gus menjejaskan prospek pembentukan tanah air Palestin yang bersambung dan berdaulat.
“Penempatan haram Israel di Tebing Barat yang diduduki jelas melanggar undang-undang antarabangsa, namun Israel terus bertindak tanpa sebarang rasa bersalah.
“Keputusan ini dibuat ketika keganasan penceroboh Yahudi terhadap orang awam Palestin di Tebing Barat semakin meningkat tanpa henti, disusuli genosid yang masih berterusan di Gaza,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Anwar menjelaskan, tindakan terbaharu itu membuktikan rejim Israel telah membuang terus kehendak untuk mengusahakan kedamaian mahupun menghormati suara masyarakat antarabangsa.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa Malaysia kekal berdiri teguh di belakang rakyat Palestin serta menyokong hak mutlak mereka untuk memiliki sebuah negara yang berdaulat, bebas dan bersambung.
Pada masa sama, beliau memberi amaran bahawa Malaysia akan memantau rapat mana-mana syarikat antarabangsa yang memilih untuk terlibat dalam tender berkenaan dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya.










