MIM Perkasakan Kepimpinan Negara, Utamakan Integriti Dan Pembangunan Insan

KUALA LUMPUR: Institut Pengurusan Malaysia (MIM) terus mengukuhkan komitmennya dalam memperkasakan kepimpinan negara dengan memberi tumpuan kepada aspek integriti, pertimbangan manusia dan pembangunan insan sepanjang hayat.

Komitmen itu ditegaskan bersempena sambutan ulang tahun ke-60 penubuhannya yang dirai menerusi Majlis Makan Malam Gala Diraja di ibu negara baru-baru ini.

Presiden MIM, Datuk Yeoh Soo Min, wanita pertama menyandang jawatan tersebut dalam sejarah 60 tahun institut berkenaan, berkata warisan utama sesebuah institusi tidak diukur pada angka semata-mata, sebaliknya pada keupayaannya membangunkan kebolehan orang lain.

“Warisan terbesar sesebuah institusi bukanlah apa yang disimpan untuk dirinya sendiri, tetapi apa yang dibangunkan dalam diri orang lain.

“Maklumat boleh dicapai, namun pendidikan perlu dirasai sendiri.

“Kecerdasan buatan (AI) boleh mempercepatkan keputusan, tetapi ia tidak boleh mengambil tanggungjawab ke atas keputusan tersebut,” katanya.

Menurut beliau, perkembangan teknologi seperti AI menuntut kepimpinan yang lebih utuh berasaskan integriti, kepercayaan dan pertukaran ilmu serta pengalaman antara generasi.

Justeru, MIM berhasrat mewujudkan ekosistem pembelajaran sepanjang hayat supaya komuniti pengurusan dapat terus saling membimbing dan menyumbang kembali kepada generasi pemimpin seterusnya.

Majlis sambutan Jubli Intan yang menghimpunkan kira-kira 700 tetamu daripada sektor awam, swasta, akademik dan kor diplomatik itu diseri dengan keberangkatan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin sebagai Tetamu Kehormat Diraja.

Baginda berdua turut meluangkan masa meneliti Wall of Fame Ulang Tahun ke-60 MIM yang memaparkan perjalanan institut itu memperkasakan lebih satu juta profesional dan 5,000 organisasi sejak penubuhannya pada tahun 1966.

Majlis berkenaan turut menyaksikan penganugerahan Court of Emeritus Fellows (CoEF) – pengiktirafan kehormat tertinggi MIM – kepada lima tokoh pemimpin negara atas sumbangan dan khidmat sepanjang hayat mereka.

Penerima anugerah tersebut ialah YM Tunku Muinuddin Putra Tunku Ahmad Nerang, Datuk P. Kamalanathan, Datuk Dr. Lee Bee Phang, Datuk Yong Yoon Li dan Datuk Yvonne Chia.

BBerkaitan

Latest articles