AYER KEROH: Siasatan berhubung penyelewengan dan tatakelola agensi kerajaan tidak akan terhenti setakat Lembaga Tabung Haji (TH), sebaliknya akan diperluas ke agensi lain termasuk Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa langkah berkenaan bertepatan dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu tindakan tegas berterusan tanpa sebarang kompromi bagi mempertahankan harta dan amanah rakyat.
“Ke bawah Duli Yang Mulia Yang di-Pertuan Agong, minggu lalu, maklum pada saya, jangan berakhir dengan TH saja… teruskan… selesai TH, bongkar Felda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kongres Nasional Keadilan 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.
Mengulas isu TH, Anwar sekali lagi menegaskan perbuatan ‘sakau’ dan ketirisan sememangnya berlaku dalam agensi berkenaan, merujuk kepada kehilangan dana yang dianggarkan berjumlah RM12 bilion.
Beliau menjelaskan keputusan mendedahkan laporan berkaitan dibuat secara bersama oleh Jemaah Menteri tanpa sebarang bantahan, malah ada yang menyarankan agar liputan siasatan dipanjangkan melepasi tahun 2020.
Presiden PKR itu turut membidas pihak yang mendakwa tindakan tegas kerajaan ketika ini berpunca daripada motivasi dendam atau ketakutan politik, sambil menegaskan kes-kes besar seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah pun memulakan proses undang-undang sebelum beliau memegang jawatan.
“Ada orang, kononnya kalangan elit yang pintar katakan Perdana Menteri sekarang terdesak dan nampak dendam ambil tindakan. Kata mereka, kalau ambil tindakan dendam dan tidak ambil tindakan kompromi dan lembap.
“Kamu bicaralah apa-apa pun, saya nak jawab menyatakan bahawa proses tindakan lebih tegas bermula sekarang,” katanya.
Walau bagaimanapun, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan menghukum mana-mana pihak secara melulu atau berdasarkan tuduhan semata-mata tanpa hasil siasatan yang sahih daripada badan penguat kuasa.
Siasatan menyeluruh, katanya, diserahkan sepenuhnya kepada agensi penguatkuasaan untuk dijalankan secara bebas dan profesional tanpa mengira latar belakang politik, jawatan mahupun kaum.
“Bukan hukum sebelum ada kepastian. Jangan terus tuding jari, biar badan penguatkuasa siasat secara profesional. Tapi sebagai orang bertanggungjawab, saya boleh katakan jangan berlengah, jangan bertolak ansur, parti mana, jawatan apa, kaum apa, salah menyakau, tangkap,” tegas beliau.










