MELAKA: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mendesak Kerajaan Perpaduan supaya menyegerakan pelbagai agenda reformasi yang masih dinantikan oleh rakyat tanpa perlu terlalu berwaspada atau berkompromi demi menjaga hati mana-mana pihak.
Naib Ketua AMK, Muhammad Nabil Halimi menegaskan, sebagai sebuah parti yang lahir daripada perjuangan reformis, PKR tidak boleh tawar-menawar dalam melaksanakan perubahan institusi penting dalam baki tempoh mandat yang ada.
Menurut beliau, cabaran utama sesebuah parti reformis apabila menjadi kerajaan adalah imbangan antara melakukan perubahan dan mengekalkan kestabilan politik.
”Bila kita melawan kerajaan, kita menuntut perubahan. Tetapi apabila kita menjadi kerajaan, kita mula memikirkan kestabilan.
”Namun dalam baki mandat ini, saya berharap kita dapat segerakan reformasi yang rakyat masih tunggu,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional AMK 2026 di sini hari ini.
Antara tuntutan reformasi utama yang digariskan beliau termasuklah menyempurnakan pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, menetapkan had tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada dua penggal serta meluluskan Akta Pendanaan Politik.
Muhammad Nabil turut menggesa jentera pemuda parti itu supaya tidak sekadar menjadi pemerhati, sebaliknya tampil sebagai ‘penolak’ yang berani untuk memastikan agenda reformasi dilaksanakan secara menyeluruh.
Tegasnya, PKR perlu berani menghadapi sebarang risiko politik sekiranya ada pihak yang cuba menghalang langkah reformasi berkenaan di Parlimen.
”Kalau ada pihak yang menghalang atau ingin gagalkan undian di Parlimen, biarkan rakyat melihat siapa yang benar-benar mahu reformasi dan siapa yang menjadi penghalang.
”Nak jatuhkan kerajaan kita sekarang? Silakan! Kita bertempur sebagai anak jantan… biar putih tulang, jangan putih mata,” tegas beliau membakar semangat perwakilan.
Mengulas lanjut, beliau turut mengigatkan jentera parti supaya segera merapatkan jurang sokongan pengundi muda menuju Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dengan menghentikan sebarang rungutan dan terus berkhidmat di peringkat akar umbi.










