AMK Perlu Cemerlang Urus Persepsi Rakyat, Bukan Sekadar Bangga Prestasi – Taufiq Johari

​MELAKA: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) digesa supaya tidak hanya selesa dengan rekod pencapaian dan prestasi Kerajaan Perpaduan, sebaliknya perlu lebih proaktif dan cemerlang dalam menguruskan persepsi rakyat di peringkat akar umbi.

​Naib Ketua AMK, Dr Muhammed Taufiq Johari berkata, kejayaan dalam pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan tidak akan memberi impak maksimum sekiranya naratif serta persepsi masyarakat gagal dikawal dengan baik.

​Menurut beliau, elemen persepsi memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan hayat dan kelangsungan sesebuah parti politik pada pilihan raya.

​”Kita boleh cemerlang dalam prestasi, tapi jangan juga kita lupa bahawa kita perlu cemerlang dalam menguruskan persepsi.

​”Persepsilah yang pada akhirnya menentukan sama ada kita menang ataupun kalah. Kita perlu kuatkan tekad dan pastikan persepsi rakyat sentiasa bersama dengan kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional AMK 2026 di sini hari ini.

​Mengulas lanjut, Dr Muhammed Taufiq menegaskan bahawa jentera muda parti perlu bersedia menangkis pelbagai naratif negatif yang dilemparkan oleh pihak lawan, selain memastikan segala inisiatif kerajaan sampai kepada golongan sasar, khususnya pengundi Gen Z dan masyarakat luar bandar.

​Tegas beliau, AMK perlu memanfaatkan kelebihan sebagai parti yang inklusif dan berbilang kaum untuk menguasai medan penerangan demi mempertahankan maruah serta masa depan parti.

​”Sebab itu keluar sahaja daripada kongres ini, kita perlu turun ke bawah, kukuhkan saf dan atur strategi penyampaian maklumat yang berkesan.

​”Apabila kita mampu mengawal dan menguruskan persepsi dengan baik, insya-Allah keyakinan rakyat akan kekal utuh bersama KEADILAN,” ujarnya lagi.

BBerkaitan

Latest articles