Hubungan Anwar-Zahid Retak, Kepercayaan Didakwa Paling Rendah Sejak Kerajaan Perpaduan Dibentuk

KUALA LUMPUR: Keretakan hubungan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) susulan perkembangan politik di Negeri Sembilan didakwa mula memberi tekanan terhadap kestabilan Kerajaan Perpaduan, termasuk hubungan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, mendakwa tahap kepercayaan antara kedua-dua pemimpin itu kini berada pada tahap paling rendah sejak Kerajaan MADANI dibentuk pada 2022.

Menurutnya, keputusan BN menjalin kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan menjadi antara perkembangan yang memperlihatkan semakin renggangnya hubungan antara BN dan PH.

Katanya, situasi itu turut menimbulkan persoalan mengenai sejauh mana BN, khususnya UMNO, akan terus mempertahankan kerajaan pimpinan Anwar sehingga tamat penggal.

“PH akan melihatnya sebagai pengkhianatan, manakala BN pula boleh mengatakan bahawa persetujuan mereka hanya untuk bekerjasama di peringkat Persekutuan dan tidak bermakna mereka terikat selama-lamanya.

“Bagaimanapun ia dilihat, memang sudah berlaku keretakan besar.

“Saya rasa bukan rahsia untuk kita katakan tahap kepercayaan PMX (Anwar) dan Zahid berada pada tahap paling rendah sejak MADANI ditubuhkan,” katanya ketika menghoskan podcast Keluar Sekejap.

Khairy berkata, walaupun Anwar dan Ahmad Zahid dilihat mampu menampilkan gambaran hubungan politik yang baik di khalayak, keadaan sebenar di sebalik kerjasama itu mungkin jauh lebih rumit.

PRN Negeri Sembilan sebelum ini menyaksikan BN dan PN membentuk persefahaman yang berjaya menamatkan pentadbiran PH di negeri berkenaan.

Gandingan BN-PN memperoleh 25 kerusi, manakala PH memenangi 11 kerusi.

BN berdepan persoalan besar

Menurut Khairy, perkembangan di Negeri Sembilan kini membuka persoalan lebih besar mengenai kesediaan BN untuk terus kekal bersama Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata Ahmad Zahid sebelum ini dilihat sebagai pemimpin yang konsisten mempertahankan keputusan BN untuk bersama kerajaan sehingga tamat penggal.

Namun, pendirian itu boleh berdepan tekanan sekiranya perkembangan politik selepas ini semakin menjejaskan kedudukan UMNO.

“Kalau langkah-langkah RCI (Suruhanjaya Siasatan Diraja) berlaku dan pada masa sama ada pertuduhan terhadap pemimpin UMNO, persoalannya, sejauh mana UMNO mampu bertahan?” katanya.

Khairy turut melihat pendirian BN sebagai antara faktor penting yang berpotensi mempengaruhi masa dan keadaan PRU akan datang.

Katanya, dari segi jumlah Ahli Parlimen, kerajaan mungkin masih mampu bertahan, namun situasi boleh berubah drastik sekiranya seluruh Ahli Parlimen BN menarik sokongan.

“Kalau semua Ahli Parlimen BN menarik sokongan, kedudukan kerajaan memang berada di hujung tanduk.

“Dengan adanya pemberontak daripada PKR serta beberapa Ahli Parlimen bebas dari Sabah yang berminat menyertai BN, jumlah sokongan itu boleh semakin mengecil.

“Mungkin kad kini benar-benar berada di tangan Zahid,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy turut mengaitkan dinamika politik semasa dengan keputusan bekas Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, meninggalkan PKR sebelum menyertai Parti Bersama Malaysia (BERSAMA).

Parti itu diterajui bekas pemimpin PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata kehadiran Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, pada pelancaran BERSAMA Mei lalu juga menjadi antara perkembangan yang wajar diberi perhatian.

Perkembangan berkenaan, menurutnya, memperlihatkan landskap politik semasa semakin dinamik dan berpotensi mempengaruhi kekuatan kerajaan sedia ada.

Sementara itu, Khairy menjangkakan DAP tidak akan mengambil keputusan meninggalkan Kerajaan Persekutuan pada pemilihan pendirian parti itu Ahad ini.

Kira-kira 4,000 perwakilan DAP dijadual mengundi bagi menentukan sama ada parti berkenaan perlu keluar daripada kerajaan sebelum tamat penggal Parlimen.

Khairy berkata faktor kestabilan kerajaan pimpinan Anwar dijangka menjadi pertimbangan utama perwakilan, selain keinginan DAP untuk menggunakan tempoh kira-kira setahun terakhir sebelum PRU bagi menunjukkan pencapaian mereka dalam kerajaan.

Beliau turut mendakwa sebahagian pemimpin DAP kini sudah selesa dengan kedudukan masing-masing dalam pentadbiran.

“Dahulu memang nampak seolah-olah mereka tidak kisah mengenai jawatan menteri, tetapi ada pemimpin DAP yang memang suka menjadi menteri.

“Sudah tiga tahun menjadi menteri, tetapi masih tidak mahu melepaskan segala keistimewaan dan manfaat yang datang dengan jawatan itu,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles