Guan Eng Desak Kon Yeow Panggil Mesyuarat DAP Pulau Pinang

GEORGE TOWN: Penasihat DAP, Lim Guan Eng, mendesak Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, memanggil mesyuarat khas DAP negeri bagi menilai semula keputusan mengekalkan wakil Umno dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Lim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih berkata, pertemuan baharu itu penting bagi mendapatkan pandangan sebenar pemimpin dan perwakilan DAP Pulau Pinang, terutama ketika hubungan antara DAP dan Umno di peringkat nasional semakin tegang susulan perkembangan politik terkini.

Beliau menegaskan, keputusan tidak membangkitkan isu berkenaan dalam mesyuarat perwakilan pada Rabu lalu tidak boleh dianggap sebagai tanda semua wakil DAP Pulau Pinang bersetuju dengan pendirian Chow.

Menurutnya, mesyuarat yang turut disertai perwakilan dari Kedah dan Perlis hanya mempunyai satu fokus, iaitu menentukan sama ada DAP perlu kekal atau keluar daripada kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan.

“Chow tidak sepatutnya menganggap semua perwakilan Pulau Pinang menyokong keputusannya hanya kerana tiada siapa yang membangkitkan perkara tersebut dalam mesyuarat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Lim berkata, isu kedudukan Umno dalam kerajaan negeri tidak pernah dibincangkan, justeru satu mesyuarat berasingan perlu diadakan untuk menentukan pendirian DAP Pulau Pinang mengenai perkara itu.

Beliau turut mempersoalkan mesej yang ingin disampaikan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang kepada pengundi dengan keputusan mengekalkan kerjasama bersama Barisan Nasional (BN) di peringkat negeri.

Minggu lalu, kepimpinan PH Pulau Pinang memutuskan untuk meneruskan kerjasama dengan BN walaupun BN membentuk pakatan dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Chow sebelum ini berkata keputusan berkenaan dibuat secara sebulat suara, termasuk mengekalkan wakil tunggal BN dalam barisan Exco kerajaan negeri, Rashidi Zinol.

Bagaimanapun, Lim menyifatkan keputusan itu sebagai sukar difahami dan secara asasnya merupakan “sokongan tanpa syarat” terhadap penglibatan Umno dalam pentadbiran Pulau Pinang.

Beliau menggesa kepimpinan PH negeri mengambil pendirian lebih tegas dengan mengambil kira perkembangan politik terbaharu yang menyaksikan PN kini menjadi rakan kepada Umno.

Chow bagaimanapun menolak kritikan berkenaan dan menegaskan tiada mana-mana pihak membangkitkan isu tersebut ketika mesyuarat pada Rabu lalu.

BBerkaitan

Latest articles