Soal Siasat Juruterbang Malaysia Buka Petunjuk Baharu Sindiket Dadah Antarabangsa

KUALA LUMPUR: Sesi soal siasat terhadap seorang juruterbang Malaysia yang ditahan di Indonesia memasuki hari ketiga hari ini, dengan pihak berkuasa Malaysia memperoleh beberapa petunjuk baharu berkaitan rangkaian sindiket dadah tempatan dan antarabangsa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata maklumat diperoleh pasukan penyiasat Malaysia itu antaranya membantu mengenal pasti anggota sindiket yang beroperasi di negara ini serta rangkaian dadah di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, maklumat berkenaan turut akan disalurkan kepada agensi penguatkuasaan dadah di negara lain bagi membantu tindakan susulan.

Siasatan juga memberikan gambaran mengenai bagaimana suspek dipercayai berjaya melepasi pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), selain mendedahkan maklumat berkaitan aliran kewangan sindiket dalam dan luar negara.

Hussein berkata, Polis Nasional Indonesia (POLRI) memberikan kerjasama penuh dengan membenarkan empat anggota penyiasat JSJN melanjutkan sesi soal siasat sehari lagi daripada jadual asal.

Beliau turut memaklumkan suspek memberikan kerjasama baik sepanjang proses berkenaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, sebelum ini mengesahkan pihak berkuasa Indonesia memberi kebenaran kepada penyiasat Malaysia untuk menyoal siasat suspek bagi membantu siasatan kes terbabit.

Juruterbang berusia 39 tahun itu kini masih ditahan polis Indonesia selepas ditangkap di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta bulan lalu kerana disyaki cuba menyeludup 25 kilogram dadah.

BBerkaitan

Latest articles