Setahun Berlalu, Rafizi Dakwa Kes Serangan Anaknya ‘Diam, Mati Begitu Sahaja’

KUALA LUMPUR: Setahun selepas anaknya diserang di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa kes berkenaan seolah-olah tidak lagi bergerak dan “mati begitu sahaja”, selain mempersoalkan tindakan pihak berkuasa dalam menjejaki individu yang bertanggungjawab.

Bekas Timbalan Presiden PKR itu berkata, beliau akan terus mengingati 13 Ogos setiap tahun sehingga pihak yang menyerang anaknya serta dalang di sebalik kejadian itu dibawa ke muka pengadilan.

“Saya akan tunggu 13 Ogos setiap tahun sehinggalah orang yang menyerang dan dalang di belakang mereka dibawa ke muka pengadilan.

“Kalau pun pihak berkuasa tidak berani mengambil tindakan, saya tahu bukan saja dalang, orang yang menyerang kanak-kanak ini perlu jawab di akhirat nanti, semua yang ada kuasa dan bertanggungjawab tetapi tidak melaksanakan amanah mereka juga perlu jawab di akhirat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Rafizi pada masa sama menyifatkan tempoh setahun yang berlalu tanpa perkembangan terbuka berhubung kes berkenaan sebagai sesuatu yang mengecewakan.

“Setahun telah berlalu, kes diam dan mati begitu sahaja,” katanya.

Polis sudah rakam 19 keterangan

Kejadian itu berlaku pada 13 Ogos tahun lalu, apabila anak lelaki Rafizi yang ketika itu berusia 12 tahun dilaporkan diserang di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya kira-kira jam 2 petang.

Walaupun kejadian berkenaan tidak menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa, Rafizi pada hari sama mendedahkan isterinya turut menerima mesej berunsur ugutan yang berbunyi “diam, jika teruskan, AIDS”.

Polis kemudian mengesahkan laporan berhubung serangan terbabit dan memulakan siasatan.

Setakat ini, polis dilaporkan sudah merakam keterangan 19 individu, selain mendapati nombor telefon yang digunakan untuk menghantar ugutan kepada isteri Rafizi didaftarkan atas nama seorang warga asing.

Bagaimanapun, usaha mengenal pasti penyerang masih berdepan kekangan apabila rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh didapati tidak cukup jelas untuk mengenal pasti suspek.

Rafizi turut mendakwa beliau pernah dimaklumkan secara tidak rasmi oleh Menteri Dalam Negeri mengenai individu yang dipercayai menjadi dalang kejadian itu.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak mendapat jawapan terbuka apabila perkara berkenaan dibangkitkan untuk dijawab di Parlimen.

PDRM belum klasifikasikan kes sebagai NFA

Pada Januari lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, memaklumkan siasatan terhadap kes itu masih berjalan.

Beliau menjelaskan, terdapat maklumat tertentu yang belum boleh didedahkan kepada umum kerana ia dikhuatiri boleh menjejaskan usaha polis mengesan suspek serta keselamatan saksi penting.

Menurut Saifuddin, sebarang keputusan untuk mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) hanya akan dibuat berdasarkan perkembangan siasatan dan petunjuk baharu yang diperoleh.

Sehingga kini, belum ada pengesahan mengenai identiti individu yang menyerang anak Rafizi atau pihak yang didakwa terbabit sebagai dalang.

BBerkaitan

Latest articles