KUALA LUMPUR: Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menolak sekeras-kerasnya cubaan mengaitkan beliau dengan pelbagai isu membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH), termasuk pelaburan kontroversi agensi itu, yang disifatkannya sebagai usaha untuk menjatuhkan reputasi beliau.
Setiausaha Agung UMNO itu menegaskan, kedudukannya sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ketika itu tidak memberikannya sebarang kuasa untuk campur tangan dalam operasi, pengurusan mahupun keputusan dasar TH.
Menurutnya, kuasa Timbalan Menteri adalah jelas berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan tidak membolehkan beliau mengambil alih atau menggantikan kuasa Menteri dalam membuat sebarang keputusan berkaitan TH.
“Wah, bersungguh-sungguh nampaknya nak burukkan dan bunuh imej saya dengan cuba kaitkan saya dengan apa juga isu Tabung Haji.
“Pada 2017, saya diminta menjadi Ketua Jemaah Haji Malaysia menggantikan YB Menteri. Kebetulan saya ketika itu berada di Makkah, menyebabkan saya dijemput mewakili Menteri untuk menghadiri majlis berkenaan,” katanya menerusi hantaran di Threads.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas video yang dimuat naik di platform sama berhubung majlis pemeteraian perjanjian lanjutan pajakan hotel di Madinah dan Makkah selama 10 tahun antara TH dan syarikat Al-Rawda, yang turut dihadirinya.
Asyraf Wajdi menegaskan kehadirannya pada majlis tersebut tidak boleh ditafsirkan sebagai bukti beliau mempunyai peranan dalam proses membuat keputusan atau kelulusan perjanjian terbabit.
“Untuk pengetahuan juga, Timbalan Menteri tiada sebarang kuasa untuk terlibat dalam proses mahupun meluluskan apa jua perjalanan dan operasi, apatah lagi perjanjian TH,” katanya.
Isu berkenaan kembali menjadi perhatian susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap beberapa pelaburan TH dan anak syarikatnya di luar negara, termasuk di Makkah dan Madinah.
Lapan kertas siasatan baharu dilaporkan dibuka SPRM, antaranya berkaitan pelaburan hotel di kedua-dua lokasi berkenaan yang dikaitkan dengan Al-Rawda Real Estates Development and Project Management Co Ltd.
Siasatan itu dilaporkan membabitkan dakwaan kerugian yang mencecah RM1.86 bilion.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi menjelaskan bahawa pentadbiran serta operasi TH dilaksanakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bersama barisan pengurusan, selaras dengan peruntukan Akta Tabung Haji.
Justeru, katanya, beliau tidak pernah dipanggil untuk memberikan keterangan berkaitan isu berkenaan sejak mula dilantik sebagai Timbalan Menteri.
Malah, beliau berkata tiada pihak termasuk Suruhanjaya Diraja (RCI), polis, SPRM atau Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pernah memanggilnya untuk disoal siasat berhubung perkara itu.
“Ini kerana saya bukan pihak yang punya sebarang kuasa atau terbabit secara langsung ataupun tidak.
“Bahkan Laporan RCI Tabung Haji juga tidak langsung menyebutkan dan membabitkan saya sebagai Timbalan Menteri,” katanya.










