‘Ibu kutu’ Mengaku Salah Anjur Kumpulan Wang Lebih RM1.7 Juta

ALOR SETAR: Seorang wanita berdepan hukuman selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menganjurkan kumpulan wang kutu dengan jumlah terkumpul melebihi RM1.7 juta.

Tertuduh, Siti Zulaika Ahmad Sabri, 36, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Sharmila Abdul Samad.

Bagaimanapun, mahkamah belum menjatuhkan hukuman terhadapnya dan menetapkan 22 September ini untuk sebutan fakta kes.

Mengikut pertuduhan, Siti Zulaika didakwa menganjurkan kumpulan wang kutu yang disertai 52 individu, dengan setiap peserta diwajibkan membuat bayaran tunai.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara Julai 2025 hingga Julai 2026 di sebuah rumah di Kampung Padang Satu, Bukit Kayu Hitam, Changlun.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 3 Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971 (Akta 28), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda maksimum RM500,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding sama, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fahmi Kamaluddin dan Vatchira Wong Rui Fern mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah turut menolak permohonan jaminan terhadap Siti Zulaika meskipun pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM100,000 selain penyerahan dokumen perjalanan termasuk pas sempadan.

Tertuduh juga tidak mengemukakan sebarang rayuan berhubung perkara itu dan diperintahkan ditempatkan di Penjara Pokok Sena sehingga prosiding seterusnya.

Kes berkenaan mendapat perhatian selepas tiga beranak dari Taman Desa Bayanmas, Bukit Kayu Hitam, dilaporkan hilang oleh bapa wanita terbabit pada 4 Ogos lalu.

Mereka dilaporkan tidak dapat dikesan sejak 20 Julai, dengan kehilangan itu dikaitkan dengan dakwaan masalah hutang permainan kutu yang dianjurkan Siti Zulaika, yang dipercayai berperanan sebagai ‘ibu kutu’.

Dua hari selepas laporan kehilangan dibuat, seorang lelaki dan wanita masing-masing berusia 39 dan 36 tahun tampil menyerah diri di Balai Polis Kubang Pasu.

BBerkaitan

Latest articles