PUCHONG: Bekas Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, mengambil keputusan meninggalkan PKR dan menyertai Bersama, hanya beberapa hari selepas mengumumkan peletakan jawatannya sebagai wakil rakyat kawasan berkenaan.
Perkembangan itu diumumkan pemimpin Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli, dalam sidang media di ibu pejabat parti berkenaan di Taman Putra Perdana, hari ini.
Wong, yang merupakan Ahli Parlimen Subang selama tiga penggal, sebelum ini sudah memberi bayangan bahawa beliau akan meninggalkan PKR pada satu ketika nanti.
Keputusan itu susulan langkah Rafizi dan Nik Nazmi Nik Ahmad meninggalkan kerusi Parlimen masing-masing sebelum menerajui Bersama.
Wong diketahui menyertai PKR hampir dua dekad dan sebelum ini antara tiga Ahli Parlimen parti itu yang akses kepada portal pembiayaan kawasan MyKhas ditarik balik selepas menghadiri majlis pelancaran Bersama pada Mei lalu.
Dua lagi wakil rakyat yang terbabit ialah Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail, dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung.
Sebelum ini, Wong turut pernah memegang jawatan Pengerusi Bukan Eksekutif Malaysia Debt Ventures Bhd, namun ditamatkan daripada jawatan berkenaan pada Mei.










