KUALA LUMPUR: Pemegang Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) yang masih mempunyai tempoh sah laku melebihi 10 tahun bakal mendapat keutamaan untuk menukar pasport mereka kepada pasport baharu secara percuma.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata pasport gantian yang diberikan akan mempunyai tempoh sah laku maksimum 10 tahun.
Menurut beliau, langkah itu dilaksanakan serta-merta susulan kekeliruan dan kesukaran perjalanan yang dialami sebahagian rakyat Malaysia di luar negara apabila menggunakan PMA dengan tempoh sah laku melebihi 10 tahun.
“Pemegang PMA sedia ada yang mempunyai tempoh sah laku melebihi 10 tahun akan diberikan penggantian pasport secara percuma dengan tempoh sah laku maksimum 10 tahun dan mereka akan diberikan keutamaan,” katanya dalam kenyataan.
Bagi mengurangkan masalah ketika urusan daftar masuk penerbangan, Jabatan Imigresen Malaysia turut akan mengeluarkan surat pemberitahuan kepada semua syarikat penerbangan.
Langkah berkenaan bertujuan membantu syarikat penerbangan mengenal pasti serta menguruskan penumpang warga Malaysia yang terjejas akibat isu tempoh sah laku pasport.
Sebelum ini, timbul beberapa kes pemegang PMA berdepan kesukaran ketika mendaftar masuk penerbangan di luar negara kerana pasport mereka mempunyai tempoh sah laku melebihi 10 tahun.
Sehubungan itu, Imigresen menetapkan tempoh sah laku maksimum PMA kepada 10 tahun bagi menyeragamkan pelaksanaan serta mengelakkan kekeliruan, khususnya berkaitan keperluan baki tempoh sah laku enam bulan bagi perjalanan antarabangsa.
Pada masa sama, pengeluaran PMA baharu dengan tempoh sah laku melebihi 10 tahun dihentikan buat sementara waktu sehingga isu tersebut dapat diselesaikan melalui perbincangan bersama syarikat penerbangan dan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
Langkah penggantian percuma itu berkuat kuasa serta-merta.










