PETALING JAYA: Mahkamah Rayuan memutuskan tiga syarikat berkaitan LSH Service Master Sdn Bhd perlu kembali menjadi defendan dalam saman berjumlah kira-kira RM1 bilion yang difailkan bekas pengendali Menara Kuala Lumpur, Hydroshoppe Sdn Bhd dan Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Azhahari Kamal Ramli sebulat suara memutuskan LSH Service Master bersama dua syarikat induknya, LSH Best Builders Sdn Bhd dan Service Master (M) Sdn Bhd, tidak wajar dikeluarkan daripada prosiding berkenaan.
Mahkamah turut membenarkan Hydroshoppe dan Menara KL meminda pernyataan tuntutan mereka, selain menolak dakwaan bahawa pindaan berkenaan dibuat sebagai langkah taktikal.
Menurut laporan The Edge, panel hakim mendapati pindaan itu dibuat pada peringkat awal prosiding dan secara bona fide, tanpa bukti menunjukkan wujud niat tidak baik.
Dalam keputusan itu, ketiga-tiga syarikat terbabit diperintahkan membayar kos RM30,000 kepada Hydroshoppe dan Menara KL, manakala kerajaan serta Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, diarahkan membayar RM15,000.
Hydroshoppe dan Menara KL memfailkan saman berkenaan tahun lalu bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa konsesi LSH Service Master untuk mengendalikan Menara KL adalah terbatal serta tidak sah di sisi undang-undang.
Selain itu, mereka menuntut kira-kira RM1 bilion sebagai ganti rugi dan pemulangan konsesi berkenaan, dengan kerajaan dan Fahmi turut dinamakan sebagai defendan.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi membenarkan saman diteruskan terhadap kerajaan dan Fahmi, namun menggugurkan tuntutan terhadap LSH Service Master, LSH Best Builders dan Service Master (M).
LSH Service Master mula mengambil alih pengurusan Menara KL pada April 2025.
Berdasarkan pemfailan LSH Capital kepada Bursa Malaysia, perbicaraan kes itu dijadualkan berlangsung selama lima hari, iaitu dari 28 Jun hingga 2 Julai 2027.
LSH Service Master dan LSH Best Builders masing-masing merupakan anak syarikat LSH Capital.










