TH Disaran Umum Prestasi Kewangan Setiap Suku Tahun

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) disaran mengumumkan prestasi kewangan dan pelaburannya setiap suku tahun seperti dilakukan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), bagi memperkukuh ketelusan serta meningkatkan keyakinan pendeposit.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata pendekatan itu membolehkan pendeposit memantau prestasi dana dan memahami dengan lebih jelas pengurusan kewangan TH secara berkala.

Menurutnya, KWSP turut berkongsi maklumat berkaitan pendapatan pelaburan serta perkembangan operasi termasuk jumlah pencarum dan majikan baharu setiap suku tahun.

“Perkara ini mungkin boleh diadaptasikan pihak Tabung Haji bagi memastikan ketelusan lebih terjamin,” katanya menerusi program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk RCI Tabung Haji dan Impak Kepada Negara, hari ini.

Beliau berkata, perkongsian maklumat secara konsisten penting untuk membina keyakinan terhadap TH, terutama kerana institusi itu mempunyai kira-kira 9.8 juta pendeposit selain berkait rapat dengan sistem kewangan dan pasaran modal negara.

Mengulas kedudukan kewangan TH, Mohd Afzanizam berkata usaha pemulihan yang bermula pada 2018 menunjukkan perkembangan positif apabila aset bersih institusi itu kembali mencatat kedudukan positif sejak 2021.

Katanya, berdasarkan laporan tahunan TH, aset bersih institusi berkenaan mencecah kira-kira RM3.2 bilion tahun lalu, sekali gus mengukuhkan keupayaannya untuk memberikan agihan keuntungan kepada pendeposit.

Sementara itu, Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH setebal 211 halaman yang dikeluarkan pada 29 Julai lalu meliputi siasatan pengurusan dan operasi institusi itu bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Dewan Rakyat dijadual mengadakan sidang khas esok bagi membahaskan laporan berkenaan. – BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles