PN Mohon Tangguh Sidang Khas Parlimen Laporan RCI Tabung Haji

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) memohon agar Sidang Khas Parlimen berkaitan pembentangan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) yang dijadualkan pada Selasa ditangguhkan ke suatu tarikh baharu.

Ketua Whip Ahli Parlimen PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, cadangan penangguhan sidang khas pada 11 Ogos itu dibuat susulan perkembangan terkini membabitkan keadaan kesihatan Perdana Menteri.

Menurut beliau, PN turut mendoakan agar Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri II dikurniakan kesembuhan segera untuk kembali bertugas seperti biasa.

“Perikatan Nasional telah menghantar sepucuk surat rasmi kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul bagi memohon penangguhan sidang tersebut.

“Surat permohonan itu telah diterima secara rasmi oleh pihak pejabat beliau pada Isnin,” katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.

Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu menegaskan, isu berkaitan Tabung Haji merupakan perkara amat penting yang melibatkan kepentingan awam, sekali gus wajar dibentangkan sendiri oleh Perdana Menteri.

“Ini kerana Perdana Menteri sendiri telah membangkitkan perkara ini kepada pengetahuan umum ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, sedangkan laporan RCI tersebut telah tersedia sejak beberapa tahun yang lalu.

“Justeru, kehadiran beliau sendiri di Dewan Rakyat untuk membentangkan dan memberikan penjelasan berhubung laporan RCI ini adalah amat signifikan,” jelas beliau.

Tambah beliau lagi, kehadiran pemimpin nombor satu negara itu bukan sahaja penting dari sudut ketelusan dan akauntabiliti, malah wajar bagi memastikan rakyat mendapat penjelasan yang menyeluruh serta komprehensif mengenai isu berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles