KUANTAN: Kerajaan Madani diingatkan bahawa tindakan menyekat peruntukan kawasan berdasarkan pendirian politik Ahli Parlimen bukan sahaja menandakan kegagalan memenuhi janji reformasi, malah mengekalkan budaya politik lama yang sepatutnya diubah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang berkata, isu penyekatan akses sistem pengurusan peruntukan MyKhas terhadap tiga Ahli Parlimen Kerajaan – Wong Chen (Subang), Lee Chean Chung (Petaling Jaya) dan Rodziah Ismail (Ampang) – perlu dilihat sebagai persoalan reformasi institusi dan keadilan kepada rakyat.
Menurut Naib Pengerusi PKR Pahang yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Pahang itu, kegagalan ini menjadi lebih ketara apabila wakil rakyat pembangkang juga masih dinafikan hak untuk mendapatkan Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF).
“Ini menunjukkan bahawa kita masih gagal melaksanakan prinsip peruntukan yang adil dan saksama kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti politik, sedangkan perkara tersebut merupakan antara komitmen Pakatan Harapan dalam Tawaran Harapan PRU-15.
“Komitmen ini bukan sekadar janji politik, sebaliknya sebahagian daripada semangat reformasi yang diperjuangkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak penubuhannya. Jika peruntukan boleh disekat atau ditarik balik, kita bukan sahaja gagal memenuhi janji reformasi, malah mengekalkan budaya politik yang sepatutnya kita ubah,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Chun Kuang menegaskan, Ahli Parlimen kerajaan atau penyokong kerajaan (backbencher) mempunyai tanggungjawab menggalas amanah rakyat untuk menjalankan fungsi semak dan imbang terhadap kuasa eksekutif.
Justeru, peruntukan kawasan tidak wajar dijadikan alat untuk menghukum mana-mana Ahli Parlimen yang bersikap kritikal terhadap kerajaan.
“Dalam konteks ini, amat berbahaya sekiranya peruntukan kawasan boleh disekat atau ditarik balik mengikut budi bicara politik Perdana Menteri. Perbezaan pendirian dan kritikan merupakan sebahagian daripada demokrasi yang sihat,” jelasnya.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan mengenai tindakan melantik individu atau wakil parti yang tidak mempunyai mandat rakyat bagi menguruskan dana pembangunan kawasan kerana ia bercanggah dengan semangat demokrasi serta menimbulkan kekeliruan tadbir urus.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan Madani menggantikan sistem CDF berasaskan budi bicara politik dengan satu mekanisme pembangunan kawasan yang telus, berasaskan keperluan, mempunyai garis panduan jelas dan boleh diaudit.
“Permohonan pembangunan perlu dinilai berasaskan keperluan rakyat serta kriteria yang ditetapkan dan disalurkan terus melalui agensi kerajaan berkaitan tanpa sebarang campur tangan politik, sepertimana yang diamalkan di negara-negara demokrasi matang.
“Reformasi sebenar bukan sekadar menukar siapa memegang kuasa, tetapi mengubah sistem supaya kuasa tidak lagi disalahgunakan. Kerajaan Madani di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu membuktikan prinsip reformasi dan tatakelola baik diterjemahkan secara nyata,” ujarnya










