KUALA LUMPUR: Parti Tindakan Demokratik (DAP) bakal mengadakan Persidangan Parti Tahun 2026 pada 16 Ogos ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bermula jam 10 pagi.
Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Koo Poay Tiong berkata, persidangan berkenaan bakal menjadi tumpuan utama apabila satu usul khas mengenai kedudukan parti itu dalam Kerajaan Persekutuan akan dikemukakan untuk diputuskan oleh para perwakilan.
Menurut beliau, usul tersebut membabitkan ketetapan sama ada DAP akan kekal berada dalam Kerajaan Persekutuan sehingga tamat tempoh penggal Parlimen semasa atau sebaliknya.
”Dalam usul ini, kita akan menyerahkan kepada semua perwakilan yang hadir untuk membuat keputusan sama ada kekal atau keluar daripada Kerajaan Persekutuan.
”Pengundian tidak akan dilakukan secara sorakan suara atau angkat tangan, sebaliknya setiap perwakilan diberikan kertas undi bagi membuat keputusan secara rahsia tanpa sebarang keraguan atau desakan,” katanya dalam satu sidang media, pada Isnin.
Hadir sama pada sidang media berkenaan ialah Penolong Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Ng Horng Peng.
Mengulas lanjut mengenai persidangan tersebut, Poay Tiong menegaskan majlis berkenaan merupakan Persidangan Parti Tahunan dan bukannya Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) atau persidangan khas seperti yang dispekulasikan sesetengah pihak sebelum ini.
Jelas beliau, penganjuran persidangan tersebut dibuat mengikut Perlembagaan Parti yang menetapkan bahawa persidangan parti perlu dipanggil dalam tempoh 18 bulan selepas Kongres Parti diadakan, di mana kongres terakhir telah berlangsung pada Mac 2025.
Selain itu, persidangan kali ini turut memberi makna besar buat DAP kerana ia bersempena dengan ulang tahun ke-60 penubuhan parti berkenaan.
”Seramai 4,264 perwakilan yang layak daripada 1,704 cawangan dijangka hadir. Jumlah perwakilan ini dipetik berdasarkan Senarai Kelayakan (Qualified List) 2025 memandangkan proses EGM cawangan baharu sahaja selesai pada 15 Jun lalu dan senarai terbaharu tidak sempat disediakan.
”Kita juga memilih PICC sebagai lokasi persidangan kerana keupayaannya menampung kehadiran jumlah perwakilan yang ramai dengan kos yang berpatutan berbanding lokasi lain, selain lokasi biasa sebelum ini di IDCC digunakan bagi penganjuran Temasya Sukan Malaysia (SUKMA),” jelasnya.
Bagi perbahasan usul pula, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dijadualkan membawa usul berkenaan sebelum ia dibuka untuk dibahaskan oleh perwakilan dari setiap negeri.
Proses pengundian dijangka mengambil masa kira-kira dua jam dan dipantau oleh Timbalan Speaker yang dilantik serta ejen pengiraan undi bagi memastikan keseluruhan proses berjalan secara telus.
Sehubungan itu, Poay Tiong menyeru seluruh perwakilan yang layak supaya hadir menunaikan tanggungjawab mereka serta mematuhi etika pakaian rasmi parti iaitu baju putih dan seluar atau skirt hitam.










