SEREMBAN: Bekas Setiausaha Organisasi DAP Negeri Sembilan, Arul Kumar Jambunathan secara rasmi dilantik sebagai Pengerusi DAP Negeri Sembilan yang baharu.
Pelantikan tersebut bagi mengisi kekosongan kepimpinan tertinggi parti di peringkat negeri, sekali gus menggalas tanggungjawab serta amanah untuk terus memimpin dan memperkukuh jentera DAP Negeri Sembilan.
Keputusan itu sekali gus melengkapkan proses peralihan kepimpinan selepas penyandangnya sebelum ini, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan peletakan jawatan dalam satu sidang media khas.
Sebelum ini, Anthony yang juga Setiausaha Agung DAP mengumumkan keputusannya untuk melepaskan jawatan Pengerusi DAP Negeri Sembilan yang disandangnya selama 22 tahun sejak 2004.
Beliau menegaskan bahawa keputusan berundur itu dibuat atas dasar peribadi tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak, bertujuan memberi laluan kepada kepimpinan baharu menerajui parti.
Peletakan jawatan Anthony sebelum ini diputuskan menerusi mesyuarat Ahli Jawatankuasa Negeri bagi membolehkan rombakan dibuat dan pengerusi baharu dipilih dalam kalangan ahli jawatankuasa sedia ada.










