Kesatuan Pondok Kelantan Bidas Hadi, Dakwaan DAP Mahu Hapus Melayu-Islam Hanya Fitnah

KUALA LUMPUR: Kesatuan Pondok-Pondok Kelantan tampil menolak dakwaan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa DAP mempunyai agenda menghapuskan Melayu dan Islam, malah menyifatkan tuduhan itu sebagai fitnah yang berpotensi mencetuskan perpecahan dalam masyarakat serta merosakkan negara.

Penasihatnya, Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki berkata, dakwaan sedemikian tidak berasas dan memperlihatkan kekeliruan terhadap prinsip syariat Islam serta amalan demokrasi yang diamalkan di negara ini.

Menurut beliau, tindakan mengundi Pakatan Harapan (PH) tidak boleh disamakan dengan menyokong sebarang usaha memusuhi umat Islam seperti yang didakwa, kerana setiap parti politik mempunyai hak untuk bertanding, manakala rakyat pula bebas menentukan pilihan melalui proses demokrasi.

“Sesiapa yang berkata bahawa mengundi PH adalah seolah-olah menyokong usaha DAP untuk memusuhkan umat Islam adalah sangat jahil dalam syariat Islam tentang hak ahli zimmah dan sangat-sangat jahil dalam amalan demokrasi,” katanya menerusi kenyataan bertulis yang tular di media sosial.

Syeikh Wazir turut mengingatkan bahawa Islam mempunyai garis panduan yang jelas dalam melindungi hak golongan bukan Islam yang hidup secara aman dalam sesebuah negara.

Beliau memetik hadis riwayat Abu Daud berkaitan larangan menzalimi atau mencabuli hak golongan mu’ahid atau zimmi.

Hadis berkenaan memberi amaran bahawa sesiapa yang menzalimi, menghina, membebankan atau mengambil hak golongan terbabit tanpa kerelaan akan berdepan ancaman keras pada hari kiamat.

Justeru, katanya, prinsip keadilan dalam Islam tidak seharusnya diketepikan hanya kerana perbezaan politik atau kaum.

Beliau turut memberi peringatan supaya tuduhan yang tidak berasas tidak dijadikan alat untuk mencetuskan permusuhan dan perpecahan dalam kalangan rakyat.

Sebelum ini, Abdul Hadi menerusi tulisan Minda Presiden PAS bertajuk ‘DAP Memimpin PH Menyambung Kerja Penjajah Hapuskan Melayu Islam’ mendakwa DAP yang didakwa mendominasi PH sedang meneruskan agenda penjajah untuk melemahkan kedudukan Melayu dan Islam di negara ini.

Beliau mendakwa agenda berkenaan berlaku menerusi beberapa bidang termasuk politik, pendidikan, ekonomi dan pentadbiran yang menurutnya masih dipengaruhi sistem peninggalan penjajahan.

BBerkaitan

Latest articles