PUTRAJAYA: Myanmar bersetuju menerima semula kira-kira 5,000 pelariannya dari Malaysia menerusi penghantaran menggunakan kapal, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya ketika mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Myanmar, namun soal pihak yang akan menanggung kos penghantaran masih belum diputuskan.
Menurut Mohamad, Wisma Putra hanya bertindak sebagai pemudah cara dalam proses berkenaan, manakala penghantaran pulang perlu disegerakan memandangkan identiti kira-kira 5,000 pelarian terbabit sudah dikenal pasti.
Bagaimanapun, beliau menegaskan aspek keselamatan pelarian berkenaan perlu diberi keutamaan sebelum sebarang penghantaran pulang dilaksanakan.
“Isunya adalah keselamatan 5,000 pelarian ini. Apakah mereka selamat apabila dihantar balik? Apa akan terjadi kepada mereka? Itu perlu juga difikirkan,” katanya selepas menghadiri Sambutan Hari ASEAN ke-59 di Wisma Putra, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Myanmar bersetuju menerima semula 5,000 pelariannya yang berada di Malaysia hasil rundingan diplomatik serta hubungan baik antara kedua-dua negara.
Mengulas peranan ASEAN dalam menangani isu pelarian Myanmar, Mohamad berkata perkara itu tidak seharusnya dilihat sebagai masalah dalaman sesebuah negara semata-mata kerana kesannya turut melibatkan negara anggota lain.
Katanya, ASEAN sebelum ini sudah bersetuju dengan kerangka penyelesaian menerusi Konsensus Lima Perkara (5PC) bagi membantu meredakan konflik di Myanmar.
Justeru, beliau menegaskan penghantaran pulang pelarian perlu mengambil kira pelaksanaan 5PC oleh kerajaan Myanmar bagi memastikan keselamatan serta kebajikan mereka terjamin.
5PC antara lain menetapkan penghentian segera keganasan, pelaksanaan dialog antara semua pihak berkepentingan serta pelantikan wakil khas Pengerusi ASEAN bagi memudah cara proses dialog.
Ia turut merangkumi penyediaan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Myanmar yang terjejas serta membenarkan wakil khas ASEAN memasuki Myanmar dan bertemu semua pihak berkepentingan.
Mohamad turut menjelaskan isu pelarian Myanmar tidak hanya membabitkan etnik Rohingya, sebaliknya turut melibatkan kelompok lain termasuk Chin dan beberapa etnik lain.
“Yang terbaik kita nyatakan adalah pelarian Myanmar, bukan (saja) Rohingya kerana ada etnik lain seperti Chin dan bermacam-macam lagi. Jadi kita melihat ia sebagai satu perkara yang Malaysia perlu urus.
“Dalam ASEAN, kita sama-sama melihat isu pelarian ini sebagai satu isu yang perlu diatasi secara bersama. Itu sebabnya ASEAN Centrality berkenaan isu Myanmar adalah satu isu bersama,” katanya.
Beliau menegaskan ASEAN mahu Konsensus Lima Perkara kekal menjadi teras mekanisme serantau dalam menangani krisis Myanmar, termasuk memastikan sebarang usaha penghantaran pulang tidak mengabaikan aspek keselamatan dan kemanusiaan.










