PRN Melaka: PKR, BN Sudah Mula Runding Agihan Kerusi

KUALA LUMPUR: Persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semakin rancak apabila PKR mengesahkan beberapa rundingan sudah diadakan bersama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata rundingan berkenaan antara lain menyentuh persiapan pilihan raya, termasuk soal calon dan pembahagian kerusi.

Menurutnya, PKR Melaka juga sedang mengenal pasti calon berpotensi selain membuka ruang perbincangan dengan semua pihak, termasuk rakan politik dalam Barisan Nasional (BN).

“Persiapan di peringkat parti adalah mengenal pasti calon-calon, mengenal pasti kerusi dan mengadakan perbincangan dengan semua pihak termasuk rakan-rakan dari BN.

“Rauf telah menyatakan keterbukaan untuk berbincang dengan mana-mana parti dan perkara itu kita terima dengan baik.

“Ketua PKR Melaka, Adam Adli, juga memaklumkan bahawa beliau telah mengadakan beberapa perbincangan bersama Rauf,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Ekspresi Jalur Gemilang Japen@Petronas di Petronas NPE Pantai Dalam.

Fahmi berkata, perkembangan itu menunjukkan rundingan antara parti menjelang PRN Melaka sudah mula bergerak, khususnya dalam usaha memastikan pembahagian kerusi dapat diputuskan secara bersama.

Semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, turut memberi isyarat bahawa gabungan itu masih bersedia membuka ruang rundingan mengenai pengagihan, termasuk pertukaran kerusi, bagi menghadapi PRN Melaka.

Zahid bagaimanapun menegaskan rundingan perlu dilakukan secara jujur dan ikhlas serta tidak menjejaskan jumlah kerusi yang diperuntukkan kepada setiap parti.

Beliau turut menegaskan prinsip bahawa kerusi yang dimenangi sesebuah parti perlu dihormati dan tidak seharusnya diserahkan begitu sahaja kepada rakan politik.

Mengulas pendirian BN itu, Fahmi menyambut baik keterbukaan berkenaan dan menegaskan rundingan tidak semestinya terhad kepada kerusi di Melaka.

“Berbincang bukan hanya mengenai negeri Melaka, tetapi juga untuk kerusi di peringkat Persekutuan,” katanya.

Fahmi berkata, rundingan lanjut berkaitan strategi dan pengagihan kerusi akan dikendalikan Naib Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang kini menjalankan tugas Timbalan Presiden, bersama Pengarah Pilihan Raya PKR, Datuk Seri Amirudin Shari.

BBerkaitan

Latest articles