KUALA LUMPUR: Peningkatan penyalahgunaan dadah membabitkan kanak-kanak seawal usia 10 hingga 14 tahun perlu dianggap sebagai amaran serius kepada negara, kata Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye.
Beliau menegaskan, usaha pencegahan tidak boleh menunggu sehingga golongan berkenaan meningkat dewasa, sebaliknya perlu dimulakan seawal usia 10 tahun.
Katanya, setiap kanak-kanak yang diselamatkan daripada penyalahgunaan dadah bukan sahaja menyelamatkan satu nyawa, malah masa depan keluarga dan masyarakat.
“Apabila kanak-kanak di peringkat awal remaja sudah terdedah kepada dadah, kita sedang berdepan ancaman serius terhadap masa depan anak-anak, keluarga dan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lee berkata, pencegahan perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan memberi tumpuan kepada perlindungan kanak-kanak daripada eksploitasi, selain membina ketahanan diri mereka terhadap pengaruh negatif.
Beliau berkata, akses kanak-kanak kepada dadah juga perlu disiasat secara serius kerana ia boleh berpunca daripada pelbagai faktor termasuk masalah keluarga, tekanan rakan sebaya, persekitaran tidak sihat, masalah emosi serta pengaruh golongan lebih dewasa.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan memperkukuh kerjasama membabitkan ibu bapa, sekolah, komuniti, agensi penguat kuasa dan sektor kesihatan.
Katanya, ibu bapa perlu lebih peka terhadap pergaulan, aktiviti di alam siber, lokasi anak menghabiskan masa serta sebarang perubahan tingkah laku dan emosi.
Pada masa sama, sekolah perlu memperkukuh pengesanan awal dengan memastikan guru dan kaunselor mempunyai kemahiran mengenal pasti tanda-tanda awal penyalahgunaan dadah.
Lee turut menggesa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), sekolah, pihak kesihatan dan pertubuhan masyarakat mempergiat program pencegahan khususnya di kawasan yang menunjukkan peningkatan kes membabitkan kanak-kanak.
“Tindakan lebih tegas perlu diambil terhadap pihak yang membekalkan dadah kepada golongan bawah umur.
“Intervensi awal jauh lebih baik daripada menunggu sehingga seseorang kanak-kanak menjadi penagih dan memerlukan pemulihan,” katanya.










