PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengakui belum menerima sebarang maklumat atau taklimat berkaitan penahanan sebuah kontena di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor yang disyaki membawa dagangan untuk dieksport ke Israel.
Beliau berkata, perkara itu belum dimaklumkan kepadanya, termasuk butiran mengenai masa dan keadaan kejadian berkenaan.
“Saya belum dapat maklumat dan bila kejadiannya.
“Saya mohon maaf kerana belum mendapat taklimat berhubung perkara berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Jelajah Star City FC – The Pride of the North 2026 di Dataran Masjid Putrajaya, hari ini.
Semalam, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mengesahkan pihaknya menahan dan menyita sebuah kontena di PTP selepas menerima maklumat risikan berkaitan penghantaran berkenaan.
Pemeriksaan awal mendapati kontena itu dipercayai membawa barangan yang bakal dieksport ke Israel dan disyaki melanggar peruntukan di bawah Item No. 15, Jadual Kedua, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2023.
Peruntukan berkenaan melarang pengeksportan barangan ke Israel sama ada secara langsung mahupun tidak langsung, selaras dengan dasar serta ketetapan kerajaan Malaysia.
Kes berkenaan kini menjadi perhatian susulan tindakan penguatkuasaan yang diambil AKPS terhadap penghantaran tersebut.










