MELAKA: Semua pihak yang mempunyai kepentingan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka disaran menghentikan seketika perundingan politik menerusi media sosial dan kembali ke meja rundingan bagi mencari formula kerjasama yang lebih matang.
Ketua Menteri Melaka merangkap Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, perbincangan secara terbuka di platform media sosial hanya berisiko mencetuskan persepsi kurang sihat serta mengeruhkan proses rundingan antara parti.
Menurutnya, BN Melaka sentiasa membuka pintu rundingan kepada mana-mana parti yang mahu membincangkan kerjasama politik bagi memastikan kekuatan gabungan dapat diperkukuh menjelang PRN akan datang.
“Perundingan perlu dibuat dengan baik, bukan melalui media sosial kerana ia boleh membentuk persepsi yang kurang sihat.
“Siapa sahaja boleh datang berunding. Tidak perlu menyuarakannya di media sosial kerana mereka belum berjumpa dengan saya atau Pengerusi Parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Tangga Batu: Kampung Kita di pekarangan Stadium Hang Jebat, malam tadi.
Ab Rauf berkata, pendekatan PRN Melaka ketika ini berlandaskan kerangka ‘BN Plus’, sekali gus memberi ruang kepada mana-mana pihak untuk tampil berbincang mengenai bentuk kerjasama yang boleh menguntungkan semua pihak.
Dalam pada itu, beliau menegaskan BN Melaka menyasarkan untuk mempertahankan kesemua 21 kerusi yang dimenangi pada PRN sebelum ini.
Bagaimanapun, katanya, BN belum membuat keputusan muktamad berhubung pembahagian kerusi dan masih akan meneliti setiap cadangan sebelum pendirian diputuskan.
“Kita tidak memberikan kata putus mengenai pembahagian kerusi. Kita akan lihat dan kaji terlebih dahulu sekiranya ia memberikan pulangan yang baik kepada kedua-dua parti,” katanya.
Menurut Ab Rauf, semua parti sama ada sudah mempunyai persefahaman atau sebaliknya perlu memanfaatkan ruang rundingan secara terbuka bagi mengelakkan perbezaan pandangan menjadi penghalang kepada kerjasama.
Beliau turut menolak tanggapan bahawa keputusan pilihan raya Parlimen boleh dijadikan ukuran utama dalam menentukan agihan kerusi PRN Melaka.
Katanya, BN telah melaksanakan pelbagai usaha untuk mendapatkan sokongan rakyat selain memastikan perkhidmatan kepada masyarakat terus diberikan dengan baik.
“Senario itu pastinya tidak boleh dijadikan ukuran bagi menentukan pengagihan kerusi yang akan berlaku pada PRN Melaka,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kemungkinan rundingan dengan PAS, Ab Rauf mengesahkan belum ada sebarang perbincangan rasmi diadakan setakat ini.
“Belum ada perundingan secara rasmi dengan PAS. Belum lagi.
“Saya harap kita hentikan seketika perundingan politik melalui media sosial dan berunding di meja rundingan yang lebih bijaksana,” katanya.










