DAPSY Buat Laporan Polis Berkaitan Kenyataan Hadi

SHAH ALAM: Pemuda DAP (DAPSY) Shah Alam membuat laporan polis terhadap Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berhubung kenyataan yang didakwa menuduh DAP mempunyai agenda menghapuskan kaum Melayu dan agama Islam di negara ini.

DAPSY Shah Alam menyifatkan dakwaan itu sebagai fitnah serta retorik berbahaya yang boleh mencetuskan ketakutan, prasangka dan ketegangan antara kaum serta agama.

Menurutnya, tuduhan berkenaan tidak berasas dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan serta rekod perjuangan DAP yang, antara lain, menghormati kedudukan Islam, hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera serta institusi Raja-Raja Melayu.

Sebelum ini, Abdul Hadi menerusi tulisan ‘DAP Memimpin PH Menyambung Kerja Penjajah Hapuskan Melayu Islam’ mendakwa DAP yang mendominasi Pakatan Harapan (PH) sedang meneruskan agenda penjajah untuk melemahkan kedudukan Melayu dan Islam.

Ahli Parlimen Marang itu turut mendakwa agenda berkenaan digerakkan menerusi aspek politik, pendidikan, ekonomi dan pentadbiran.

Mengulas perkara itu, DAPSY Shah Alam mendakwa kenyataan sedemikian boleh memperuncing perpecahan masyarakat dengan menjadikan isu kaum dan agama sebagai modal politik.

Sehubungan itu, mereka menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan, termasuk mengikut peruntukan undang-undang berkaitan seperti Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

DAPSY turut menggesa tindakan sewajarnya diambil bagi memastikan isu berkaitan Raja, agama dan kaum (3R) tidak disalahgunakan sebagai alat politik.

Mereka berkata DAPSY akan terus bekerjasama dengan parti induk dan PH dalam usaha mempertahankan keharmonian masyarakat, prinsip demokrasi serta ketenteraman awam.

BBerkaitan

Latest articles