Kontena Disyaki Bawa Barangan Untuk Eksport Ke Israel Ditahan Di Pelabuhan Tanjung Pelepas

JOHOR BAHRU: Sebuah kontena yang dipercayai mengandungi barangan untuk dieksport ke Israel ditahan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Pelabuhan Tanjung Pelepas, semalam.

Tindakan itu diambil selepas pihak berkuasa mengesan penghantaran berkenaan yang disyaki melanggar peraturan eksport Malaysia, khususnya larangan penghantaran barangan secara langsung atau tidak langsung ke Israel.

AKPS dalam kenyataan memaklumkan, penghantaran berkenaan dipercayai tidak mematuhi Item 15, Jadual Kedua, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2023.

Peruntukan tersebut menetapkan larangan terhadap pengeksportan barangan ke Israel, selaras dengan dasar dan ketetapan kerajaan Malaysia.

“AKPS akan menjalankan siasatan lanjut bersama dengan pihak berkuasa dan agensi berkaitan bagi mengesahkan sifat, spesifikasi, kegunaan serta klasifikasi barangan berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Siasatan turut merangkumi penelitian sama ada barangan terbabit tergolong sebagai barangan strategik yang tertakluk kepada kawalan mengikut Akta Perdagangan Strategik 2010 (Akta 708) serta perundangan subsidiari berkaitan.

Menurut AKPS, pemeriksaan dan siasatan itu penting bagi menentukan status sebenar barangan berkenaan sebelum tindakan lanjut diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Dalam pada itu, agensi berkenaan menegaskan Malaysia kekal tegas dalam memastikan sebarang aktiviti perdagangan yang bercanggah dengan dasar, sekatan dan perundangan negara berkaitan Israel tidak berlaku.

AKPS berkata pendirian kerajaan MADANI berhubung perkara itu kekal jelas dan konsisten.

“Sebarang percubaan mengeksport barangan secara langsung atau tidak langsung ke Israel yang bertentangan dengan undang-undang serta ketetapan kerajaan akan dikenakan tindakan tegas,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles