KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa DAP yang kini mendominasi Pakatan Harapan (PH) meneruskan agenda tinggalan penjajah Barat bagi melemahkan serta menyingkirkan penguasaan Melayu-Islam di negara ini.
Menurut beliau, strategi tersebut dilaksanakan secara halus menerusi pemikiran sekularisme, kebebasan demokrasi ekstrem, serta gagasan Malaysian Malaysia yang bertentangan dengan ketetapan fitrah dan sejarah asal Tanah Melayu.
Katanya, DAP turut memperalatkan segelintir pemimpin Melayu dan parti berwajah Islam dalam kerajaan bagi melestarikan agenda politik berkenaan.
”Penjajah asing meninggalkan ‘petugas’ yang melangsungkan gerakan menentang Islam dan umatnya secara berterusan.
“Di Malaysia, mereka mewujudkan teori Malaysian Malaysia oleh DAP dengan menanam semangat perkauman dalam kalangan kaum lain.
”PH yang dikuasai DAP telah mengambil beberapa langkah terbuka bagi meneruskan agenda penjajah, termasuk menyingkirkan kedudukan Islam dan Melayu,” katanya dalam satu kenyataan menerusi ‘Minda Presiden PAS’ pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Marang itu turut membangkitkan isu cadangan pelaksana semula Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang menurutnya ditekankan oleh DAP untuk menguasai kawasan bandar.
Jelas beliau, Pilihan Raya PBT sebelum ini dimansuhkan kerana bimbang mengulangi kesan penyusunan masyarakat majmuk oleh penjajah yang pernah mendatangkan igauan sejarah hitam negara.
”Pilihan raya PBT kini dijadikan agenda untuk menguasai kawasan bandar yang didominasi oleh kaum tertentu.
”Selain itu, wujud tindakan mencabar kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan, memperlekehkan kedaulatan Raja-raja Melayu, dan melemahkan kedudukan bahasa Melayu,” ujarnya.
Sehubungan itu, Abdul Hadi menyeru agar langkah menyelamatkan kedudukan bangsa dan agama dilakukan dengan segera menerusi penyatuan politik Melayu-Islam tanpa mengira fahaman parti.
Tegas beliau, penyatuan tersebut perlu merangkumi gabungan utama seperti Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Parti Wawasan Negara serta badan bukan kerajaan (NGO) seperti Muafakat Nasional (MN).
”Pendirian ini bukan bersifat perkauman atau fanatik, sebaliknya mewajibkan Melayu-Islam memimpin negara dalam konsep menerima masyarakat majmuk.
“Semua pihak perlu menerima hakikat bahawa Melayu ialah tuan punya tanah air ini mengikut ketetapan sejarah dan agama.
”Langkah ini mesti dimulakan dengan penyatuan Melayu-Islam bagi menegakkan kuasa politik Islam yang adil serta saksama kepada semua kaum di Malaysia,” katanya.










