RCI Tabung Haji: Agong Titah Siasat ‘Hingga Ke Lubang Cacing’, Tiada Kompromi

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah supaya siasatan berhubung Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) dilaksanakan secara menyeluruh sehingga ‘ke lubang cacing’ tanpa sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.

Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa tindakan undang-undang wajar diambil ke atas mana-mana individu yang bertanggungjawab bagi memastikan kelemahan sama tidak berulang pada masa hadapan.

“Jangan ada yang terlepas daripada tindakan sekiranya benar-benar didapati bersalah.

“Yang penting, perkara seperti ini tidak boleh berulang,” titah Seri Paduka Baginda dalam satu kenyataan hari ini.

Titah berkenaan menyusul selepas Seri Paduka Baginda berkenan menerima mengadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Tunku, di sini hari ini.

Dalam pertemuan yang berlangsung selama lebih satu jam itu, Perdana Menteri mempersembahkan taklimat mengenai Laporan Siasatan RCI TH serta isu-isu semasa membabitkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

Selain isu RCI dan FELDA, Sultan Ibrahim turut bertitah menggesa kementerian serta agensi berkaitan supaya memperkasakan kawalan dan tahap keselamatan di semua lapangan terbang serta pintu masuk negara.

Seri Paduka Baginda bertitah langkah tegas itu penting bagi membendung kegiatan penyeludupan dadah dan mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan yang boleh mengancam keselamatan serta ketenteraman awam.

Sehubungan itu, Seri Paduka Baginda menekankan bahawa aspek kawalan di pintu masuk negara perlu sentiasa diperkukuh menerusi penguatkuasaan yang berkesan, pemantauan berterusan dan kerjasama erat antara seluruh agensi keselamatan yang terlibat.

BBerkaitan

Latest articles