Tiada Isu Sekat Peruntukan, Dana MyKhas Disalur Terus Kepada Rakyat – Fahmi

KUALA LUMPUR: Peruntukan di bawah sistem MyKhas disediakan khusus bagi kegunaan serta manfaat terus kepada rakyat, dan bukannya untuk kegunaan peribadi Ahli Parlimen, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

​Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI menjelaskan bahawa dana berkenaan merupakan Peruntukan Khas Perdana Menteri sebagaimana yang terkandung dalam dokumen Rancangan Malaysia (RMK) serta Belanjawan Negara.

​Sehubungan itu, beliau berkata kaedah penyaluran dana tersebut adalah tertakluk sepenuhnya kepada pertimbangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

​”Apa yang Perdana Menteri sebutkan itu betul, tepat dan benar. Peruntukan yang dimaksudkan adalah Peruntukan Khas Perdana Menteri.

“Maka terpulang kepada Perdana Menteri bagaimana untuk salurkannya.

​”Macam saya pun, MyKhas tidak boleh digunakan untuk saya. MyKhas digunakan untuk rakyat, penduduk dan pengundi dalam Parlimen. Duit itu tidak pernah sekali-kali pergi kepada Ahli Parlimen,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Internet Selamat MCMC bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sini hari ini.

​Fahmi berkata dana MyKhas dikendalikan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dan sebarang permohonan bantuan boleh disalurkan menerusi agensi berkenaan.

​Mengulas lanjut mengenai mekanisme penyaluran di peringkat kawasan, beliau memaklumkan pengurusan di sesetengah Parlimen seperti Ampang dikendalikan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Azman Abidin, manakala di Petaling Jaya ia diselaraskan menerusi Ketua Cabang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan berkenaan.

​”Jadi mekanismenya seperti yang Perdana Menteri telah umumkan, ia tidak menjadi apa-apa masalah atau isu kerana duit itu akan terus disampaikan kepada rakyat,” katanya.

​Penjelasan itu bagi mengulas kenyataan Perdana Menteri semalam bahawa dana kerajaan disalurkan terus kepada rakyat bagi membiayai projek pembangunan dan kebajikan, bukannya menerusi Ahli Parlimen.

​Anwar sebelum ini menegaskan tiada timbul isu sekatan peruntukan memandangkan projek kemudahan awam seperti pembaikan infrastruktur, sekolah, masjid dan bantuan komuniti tetap diteruskan di kawasan terbabit.

BBerkaitan

Latest articles