MP Kerajaan Tuntut Anwar Jawab Isu Sekat Akses MyKhas, Lantikan ‘Proxy’

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim didesak memberikan penjelasan terbuka berhubung tindakan menyekat akses sistem MyKhas milik Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail, serta pelantikan Penyelaras Parlimen baharu di kawasan berkenaan.

Desakan tersebut disuarakan secara bersama oleh lima Ahli Parlimen kerajaan menerusi satu kenyataan media yang menuntut pentadbiran Anwar memperincikan asas undang-undang serta dasar yang diguna pakai bagi tindakan sekatan tersebut.

Menurut kenyataan bersama oleh Wong Chen (Subang), Lee Chean Chung (Petaling Jaya), Rodziah Ismail (Ampang), Kesavan Subramaniam (Sungai Siput) dan Zahir Hassan (Wangsa Maju), Anwar perlu menjawab tiga persoalan utama berhubung pengurusan peruntukan kawasan Parlimen.

“Sehubungan itu, kami menuntut Perdana Menteri menjawab secara terbuka mengenai peruntukan undang-undang, peraturan atau dasar yang digunakan untuk menyekat akses MyKhas kepada ketiga-tiga Ahli Parlimen.

“Apakah asas pelantikan Penyelaras Parlimen Ampang, iaitu Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin, sedangkan Ahli Parlimen kerajaan di kawasan tersebut masih menjalankan tugas dan berfungsi?” tegas kenyataan itu.

Kenyataan itu turut mempersoalkan kewajaran pelantikan seorang Setiausaha Politik sebagai Penyelaras Parlimen dari sudut kapasiti, masa serta skop tugas hakiki.

“Mengapakah seorang Setiausaha Politik dilantik sebagai Penyelaras Parlimen Ampang?

“Adakah tugas tersebut termasuk dalam skop tugas hakiki beliau, dan adakah beliau mempunyai kapasiti, masa serta tenaga untuk memikul tanggungjawab tambahan itu?” jelas kenyataan berkenaan.

Kumpulan Ahli Parlimen itu menegaskan bahawa tindakan menyekat akses wakil rakyat yang dipilih dan menyerahkan pengurusan peruntukan kepada individu lain disifatkan sebagai langkah yang mengaburkan sempadan antara parti dan kerajaan.

“Kami berasa kecewa dengan tindakan menyekat akses MyKhas Rodziah Ismail. Beliau merupakan wakil rakyat kerajaan ketiga yang dinafikan hak untuk menguruskan peruntukan kawasan Parlimennya.

“Sekali lagi, penyalahgunaan kuasa yang serius ini mendedahkan bagaimana Kerajaan Madani semakin mengaburkan sempadan antara parti dengan kerajaan, serta antara demokrasi dengan autokrasi,” kata kenyataan tersebut.

Mereka turut mengingatkan Perdana Menteri mengenai prinsip reformasi, keadilan dan ketelusan yang sering diperjuangkan sebelum ini agar sentiasa terpakai dalam pentadbiran kerajaan hari ini.

“Anwar Ibrahim sendiri telah menghabiskan puluhan tahun memperjuangkan reformasi, keadilan, ketelusan dan menentang penyalahgunaan kuasa.

“Hari ini, prinsip-prinsip yang sama mesti terpakai kepada kerajaan yang beliau pimpin. Kami tidak meminta layanan istimewa, kami hanya menuntut satu prinsip yang sangat mudah: Hormati mandat rakyat,” menurut kenyataan itu lagi.

BBerkaitan

Latest articles