MELAKA: Perbezaan fahaman dan parti politik yang mentadbir Kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri tidak seharusnya menjadi penghalang kepada hubungan baik dan kerjasama antara kedua-dua pihak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan kerjasama merentas parti perlu terus diperkukuh kerana kepentingan rakyat mesti diletakkan mengatasi perbezaan politik.
Menurut beliau, sistem pentadbiran negara memerlukan hubungan erat antara kerajaan pusat dan negeri bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai rakyat tanpa mengira latar politik.
“Kita tidak boleh menghalang pandangan yang agak berbeza atau parti yang berbeza, tetapi ia tidak boleh menyekat persahabatan, persaudaraan dan kerjasama yang akan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Landskap Negara bertemakan “Landskap Lestari, Malaysia MADANI” di Stadium Hang Jebat, Krubong, malam tadi.
Turut hadir Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Anwar turut merakamkan penghargaan terhadap kerajaan Melaka dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan agenda pembangunan negeri.
Katanya, hubungan baik antara Kerajaan Persekutuan dengan pentadbiran negeri perlu diterjemahkan kepada tindakan yang memberi kesan langsung kepada rakyat.
Beliau berharap aspirasi untuk mewujudkan landskap bandar yang lebih lestari selari dengan konsep Malaysia MADANI dapat dilaksanakan secara berkesan dan menghasilkan perubahan dalam tempoh yang tidak terlalu lama.
“Kerjasama erat daripada Kerajaan Negeri Melaka dan MBMB, saya ucap setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih.
“Mudah-mudahan hasrat kita untuk menentukan landskap itu lestari, memenuhi konsep Malaysia MADANI, akan dapat diterjemahkan dalam tindakan dan hasilnya dalam masa yang singkat,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar mengingatkan supaya pembangunan negara tidak terlalu tertumpu kepada projek mega dan mercu tanda semata-mata sehingga mengabaikan lokasi yang menjadi tumpuan harian rakyat.
Beliau secara khusus menekankan aspek kebersihan dan keceriaan gerai makanan, warung serta restoran kecil yang menjadi pilihan majoriti rakyat.
Menurutnya, peruntukan khusus perlu disediakan untuk memperbaiki kemudahan serta persekitaran premis berkenaan, bukannya memberi tumpuan berlebihan kepada projek yang akhirnya lebih banyak dinikmati golongan berpendapatan tinggi.
“Kita memang terkenal dengan mercu tanda yang hebat dan gagah, tetapi jangan lupa majoriti rakyat bukan makan di restoran lima bintang.
“Majoriti rakyat, 80 peratus kalau di Kuala Lumpur, makan di gerai, warung dan restoran-restoran kecil,” katanya.
Anwar berkata kerajaan perlu menilai semula keutamaan pembangunan supaya aspek yang dekat dengan kehidupan seharian rakyat tidak tercicir.
Katanya, usaha mencantikkan serta memastikan kebersihan gerai makanan perlu dilihat sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan bandar dan bukan perkara sampingan.
“Berapa banyak tumpuan kita dalam soal pembangunan untuk mengindahkan gerai dan membersihkannya? Sebab itu saya kata dalam perancangan, gagal kalau kita tidak imbangi dengan baik,” katanya.
Perdana Menteri menegaskan pembangunan yang benar-benar berkesan ialah pembangunan yang seimbang, bukan sekadar gah dari segi fizikal tetapi turut meningkatkan kualiti kehidupan rakyat.
Katanya, pendekatan sedemikian penting bagi memastikan imej serta martabat Malaysia terus diangkat di persada dunia, tanpa mengabaikan keperluan rakyat di peringkat akar umbi. – BERNAMA










