Anwar Persoal Cadangan Jual Hotel Felda Pada Harga Jauh Lebih Rendah

MELAKA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menyediakan laporan terperinci berhubung cadangan penjualan sebuah hotel milik agensi itu selepas mendapati nilainya jauh lebih rendah berbanding harga asal pembelian.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata beliau enggan meluluskan urusan penjualan berkenaan apabila dimaklumkan hotel itu dicadangkan untuk dijual pada harga 100 juta pound Britain (kira-kira RM549 juta), sedangkan aset tersebut sebelum ini dibeli pada harga 160 juta pound Britain (sekitar RM879 juta).

Menurutnya, beliau mahu siasatan dilakukan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab terhadap urus niaga berkenaan sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Pengurusan Felda datang dua bulan lalu meminta saya menandatangani kelulusan penjualan hotel itu. Saya lihat harganya jauh lebih rendah daripada harga pembelian asal, jadi saya tidak bersetuju dan meminta laporan penuh disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Terendak, pada Jumaat.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman.

Anwar turut meluahkan rasa kecewa terhadap cadangan penjualan itu kerana disifatkan tidak selari dengan usaha kerajaan membantu kebajikan warga peneroka Felda yang masih berdepan pelbagai cabaran.

Katanya, ketika turun padang bertemu peneroka, mereka sering membangkitkan keperluan menaik taraf sekolah, kemudahan asas termasuk pendingin hawa serta isu pendapatan yang masih tidak mencukupi.

Dalam masa sama, beliau menegaskan aset Felda tidak boleh diuruskan secara cuai sehingga menyebabkan kerugian besar kepada institusi yang diwujudkan untuk membela nasib peneroka.

“Felda ialah institusi penting negara yang perlu dipertahankan. Sebab itu saya mahu laporan lengkap dikemukakan supaya perkara ini dapat diperbetulkan dan tidak berulang,” katanya.

Beliau menegaskan kerajaan komited memastikan setiap aset milik agensi berkaitan kerajaan diurus secara telus, berhemah dan memberi manfaat kepada rakyat, khususnya warga Felda.

BBerkaitan

Latest articles