SHAH ALAM: Hasrat Nurul Izzah untuk melepaskan jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR hanya dimaklumkan kepada kepimpinan parti beberapa hari lalu, kata Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari.
Menurut Amirudin, perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam tempoh dua hingga tiga bulan sebelum ini kerana kepimpinan parti, termasuk Nurul Izzah, memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan dan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor serta Negeri Sembilan.
Beliau berkata, sepanjang tempoh tersebut, perbincangan bersama Nurul Izzah lebih tertumpu kepada strategi dan persediaan menghadapi pilihan raya, bukannya mengenai hasrat untuk berundur daripada jawatan nombor dua parti.
“Sebelum ini tiada sebarang permohonan atau perbincangan mengenai peletakan jawatan. Mungkin ada perkara mendesak yang perlu beliau beri keutamaan sehingga membuat keputusan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membentangkan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) di lobi Wisma Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Amirudin yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR menjelaskan, Nurul Izzah masih kekal memegang jawatan Timbalan Presiden sehingga berakhirnya Kongres Nasional Keadilan yang dijadual berlangsung di Melaka pada 15 dan 16 Ogos ini.
Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak memberi ruang kepada Nurul Izzah untuk meneliti keputusan yang dibuat tanpa sebarang tekanan.
Katanya, sepanjang tempoh cuti sementara yang diambil Nurul Izzah, tanggungjawab Timbalan Presiden akan dipikul oleh Naib Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Terdahulu, Nurul Izzah dilaporkan mengumumkan keputusan untuk melepaskan jawatan Timbalan Presiden PKR selepas melalui pertimbangan yang panjang bagi memberi tumpuan kepada pengajian lanjutan serta meneruskan khidmat kepada masyarakat tanpa perlu terikat secara langsung dengan dunia politik.










