SHAH ALAM: Spekulasi mengenai kemungkinan Pilihan Raya Kecil (PRK) di Selangor susulan status kebankrapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari, akhirnya terlerai apabila Mahkamah Tinggi hari ini membatalkan Perintah Kebankrapan yang dikenakan terhadap beliau.
Dokumen perintah mahkamah yang dilihat menunjukkan permohonan Abdul Rashid untuk membatalkan Perintah Kebankrapan di bawah Seksyen 105 Akta Insolvensi 1967 telah diluluskan oleh Mahkamah Tinggi.
Perintah itu dikeluarkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Malaya Shah Alam, Nur Hafizah Rajuni, pada prosiding yang berlangsung hari ini.
Berdasarkan perintah bertarikh 7 Ogos, mahkamah membatalkan Perintah Kebankrapan yang dikeluarkan terhadap Abdul Rashid pada 1 April lalu, manakala kos permohonan ditanggung oleh penghutang penghakiman.
Permohonan itu difailkan Abdul Rashid terhadap Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selaku pemiutang penghakiman.
Keputusan tersebut dibuat selepas mahkamah meneliti afidavit sokongan yang diikrarkan Abdul Rashid pada 6 Ogos selain mendengar hujahan daripada semua pihak, termasuk wakil Ketua Pengarah Insolvensi dan peguam KWSP.
Antara yang hadir ialah peguam Nurullhuda Siam yang mewakili Abdul Rashid, Peguam Persekutuan Natrah Mazman, Pegawai Insolvensi Norizan Mohamed bagi pihak Ketua Pengarah Insolvensi serta peguam Hilmi Mazlan yang mewakili KWSP.
Dengan pembatalan itu, desas-desus bahawa Selangor bakal berdepan PRK susulan status kebankrapan wakil rakyat berkenaan kini dianggap selesai.
Sebelum ini, isu kebankrapan Abdul Rashid mencetuskan tanda tanya mengenai kedudukan kerusi DUN Selat Klang. Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, turut mengesahkan wakil rakyat itu berdepan isu berkenaan, namun menjelaskan sebarang keputusan berkaitan status kerusi adalah di bawah bidang kuasa Speaker Dewan Negeri Selangor.
Menurut sumber, Abdul Rashid dijangka kembali menghadiri persidangan Dewan Negeri Selangor yang bersambung minggu depan selepas tidak hadir pada minggu pertama persidangan.










