Anwar Hormati Keputusan Nurul Izzah Lepas Jawatan Timbalan Presiden PKR

ALOR GAJAH: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyifatkan keputusan Nurul Izzah Anwar melepaskan jawatan Timbalan Presiden parti sebagai sesuatu yang wajar dihormati, sambil menegaskan anak sulungnya itu masih komited terhadap perjuangan PKR.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, Nurul Izzah mempunyai perancangan peribadi termasuk menyambung pengajian, namun ia tidak bermakna beliau meninggalkan parti.

“Dia ada program di luar, tak apa kita boleh terima baik. Tapi, dia masih aktif dalam parti,” katanya ketika ditemui di Alor Gajah.

Semalam, Nurul Izzah mengumumkan akan terus menyokong kepimpinan PKR di bawah Anwar walaupun tidak lagi memegang jawatan nombor dua parti itu.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa Pemangku Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bersama Pengarah Pilihan Raya parti, Datuk Seri Amirudin Shari, mampu menggalas tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh dedikasi.

Nurul Izzah dipilih sebagai Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti pada Mei tahun lalu selepas menewaskan penyandang ketika itu, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Perkembangan itu berlaku selepas Rafizi bertindak meninggalkan PKR bersama bekas Naib Presiden, Nik Nazmi Nik Ahmad, bagi menubuhkan parti baharu dikenali sebagai Bersama.

BBerkaitan

Latest articles