Anwar Jawab Isu Sekat Peruntukan MP – Terus Salur Kepada Rakyat

ALOR GAJAH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak pernah menyekat peruntukan kepada Ahli Parlimen kerana dana yang diperuntukkan disalurkan secara terus kepada rakyat bagi memenuhi pelbagai keperluan pembangunan dan kebajikan.

Menurut beliau, peruntukan kerajaan bukan bertujuan diberikan kepada Ahli Parlimen, sebaliknya digunakan untuk membiayai projek serta kemudahan yang memberi manfaat kepada masyarakat seperti pembaikan sekolah, sekolah agama, masjid, longkang dan infrastruktur asas lain.

“Peruntukan itu bukan semestinya diberikan kepada Ahli Parlimen. Yang penting, ia sampai kepada rakyat. Jika ada RM2 juta diperuntukkan, wang itu digunakan untuk sekolah, sekolah agama, masjid, pembaikan longkang dan pelbagai keperluan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Ar-Rasyidin, hari ini.

Mengulas dakwaan berlaku sekatan peruntukan, Anwar menegaskan pendekatan menyalurkan dana terus kepada rakyat bukanlah dasar baharu, malah telah lama diamalkan oleh kerajaan.

Katanya, semua Ahli Parlimen sedia maklum mengenai kaedah tersebut dan fokus kerajaan kekal memastikan setiap peruntukan dimanfaatkan oleh rakyat, bukannya individu.

“Tiada sekatan. Soalnya, peruntukan itu untuk siapa? Untuk Ahli Parlimen atau untuk rakyat? Sudah tentu ia mesti sampai kepada rakyat.

“Semua permohonan melibatkan sekolah, sekolah agama, madrasah, masjid, pembaikan tandas, longkang dan pelbagai keperluan asas lain terus diberikan kelulusan,” katanya.

Semalam, Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail mendakwa Pusat Khidmat Parlimennya tidak lagi mempunyai akses kepada sistem MyKhas yang digunakan bagi menguruskan peruntukan pembangunan kawasan.

Menurut beliau, kehilangan akses itu menjejaskan proses pengurusan dan penyaluran dana untuk pelaksanaan pelbagai program kebajikan, bantuan masyarakat serta projek infrastruktur di bawah Projek Mesra Rakyat (PMR), yang sebelum ini memberi manfaat kepada penduduk Parlimen Ampang.

BBerkaitan

Latest articles