KUALA PILAH: Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mengingatkan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang baharu supaya tidak sesekali menyalahgunakan kuasa dan kedudukan yang diamanahkan, khususnya dalam urusan melibatkan pemberian tender serta projek kerajaan.
Baginda bertitah, setiap EXCO perlu melaksanakan amanah dengan penuh kejujuran, adil dan profesional serta memastikan segala keputusan dibuat demi kepentingan rakyat, bukannya untuk manfaat peribadi, keluarga atau kenalan.
“Seperti yang pernah beta titahkan sebelum ini, negara amat memerlukan pemimpin yang berprinsip dan mempunyai maruah atau persons of honour.
“Menyalahgunakan kuasa dan kedudukan hanya akan membawa kepada ketidakadilan serta melemahkan pelaksanaan dasar yang dirangka demi kesejahteraan rakyat,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti, di sini, hari ini.
Turut berangkat ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud; Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz serta Tunku Panglima Besar, Tunku Zain Al-’Abidin Tuanku Muhriz.
Hadir sama Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Klana Petra Muhammad Faris Johari; Undang Luak Rembau, Datuk Sedia Raja Hassan Ab Hamid dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim.
Tuanku Muhriz bertitah, pelantikan sebagai EXCO bukan sekadar satu penghormatan, sebaliknya membawa tanggungjawab besar untuk menentukan hala tuju pentadbiran negeri selain memikul amanah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Menurut baginda, rakyat meletakkan harapan tinggi kepada kerajaan negeri dan justeru setiap dasar serta perancangan perlu dilaksanakan secara telus, cekap dan berkesan.
“Sesebuah kerajaan bukan hanya dinilai melalui perancangan yang baik, tetapi juga berdasarkan keupayaannya menyampaikan hasil yang benar-benar memberi manfaat serta dirasai rakyat,” titah baginda.
Baginda turut menggesa kepimpinan baharu meneruskan kecemerlangan pentadbiran terdahulu, khususnya dalam menarik pelaburan berkualiti, meningkatkan hasil negeri dan memperluaskan peluang ekonomi serta pekerjaan kepada rakyat.
Titah baginda, Negeri Sembilan telah mencatatkan prestasi membanggakan menerusi rekod pelaburan dan peningkatan hasil negeri, justeru pencapaian itu perlu dipertahankan dan diperkasakan.
Pada masa sama, baginda mengingatkan supaya setiap kelemahan dalam pentadbiran dikenal pasti dan ditambah baik secara berterusan bagi memastikan kerajaan negeri terus berfungsi dengan cemerlang, berintegriti serta berkesan.
Mengakhiri titah, Tuanku Muhriz mendoakan agar Negeri Sembilan terus dikurniakan keamanan, kemakmuran dan keberkatan, selain berharap seluruh barisan kepimpinan sentiasa diberikan petunjuk untuk membuat keputusan yang adil, bijaksana serta sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, Barisan Nasional (BN) memenangi 18 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tujuh kerusi, sekali gus membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.










