MAG Wajibkan 1,260 Juruterbang Jalani Ujian Dadah Selepas Insiden Penahanan Kru di Indonesia

KUALA LUMPUR: Malaysia Aviation Group (MAG) mengarahkan semua 1,260 juruterbang Malaysia Airlines menjalani ujian saringan dadah secara mandatori berikutan penahanan seorang kakitangannya di Indonesia yang disyaki terbabit dalam cubaan menyeludup dadah.

Dalam kenyataan hari ini, MAG memaklumkan proses saringan itu berkuat kuasa serta-merta dan dijadual selesai selewat-lewatnya pada 15 Ogos ini.

Menurut syarikat itu, mana-mana juruterbang yang gagal menjalani ujian dalam tempoh ditetapkan tidak akan dibenarkan mengendalikan penerbangan sehingga disahkan bebas daripada sebarang isu berkaitan penyalahgunaan dadah.

MAG turut mengumumkan bahawa ujian saringan mandatori akan dijadikan amalan tetap kepada semua juruterbang aktif sebagai pelengkap kepada program ujian rawak yang dilaksanakan sebelum ini.

Langkah sama juga akan diperluaskan kepada kru kabin dalam usaha memperkukuhkan standard keselamatan dan integriti operasi syarikat.

Tindakan itu diambil susulan penahanan seorang juruterbang Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Indonesia, minggu lalu selepas pihak berkuasa negara berkenaan menemui kira-kira 25 kilogram pil ekstasi yang dianggarkan bernilai lebih RM13 juta dalam bagasinya.

MAG mengesahkan individu terbabit merupakan pegawai kedua yang berada di tempat duduk pemerhati kokpit dan bukannya antara dua juruterbang yang mengendalikan pesawat berkenaan.

Menurut syarikat itu, kakitangan terbabit juga tidak bertugas selama dua hari sebelum ditahan, manakala penerbangan dikendalikan seperti biasa oleh dua juruterbang bertauliah tanpa menjejaskan aspek keselamatan.

“Tindakan individu berkenaan sama sekali tidak boleh diterima dan jelas bercanggah dengan nilai profesionalisme serta piawaian tinggi yang diharapkan daripada semua kakitangan kami,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Nasaruddin A. Bakar berkata, aspek keselamatan operasi serta tahap kesiapsiagaan kru sentiasa menjadi keutamaan syarikat dan tidak boleh dikompromi.

Beliau berkata, walaupun insiden berkenaan disifatkan sebagai kes terpencil yang tidak mencerminkan integriti majoriti tenaga kerja MAG, syarikat akan terus memperkukuhkan langkah kawalan dan perlindungan bagi memastikan keyakinan penumpang serta semua pihak berkepentingan terus terpelihara.

BBerkaitan

Latest articles