Negeri Sembilan Umum Barisan EXCO Baharu, Dua Dikekalkan, Lapan Wajah Baharu Angkat Sumpah

KUALA PILAH: Kerajaan Negeri Sembilan hari ini mengumumkan barisan baharu Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) bagi penggal 2026-2031, menyaksikan hanya dua penyandang dikekalkan manakala lapan lagi merupakan muka baharu.

Kesemua 10 EXCO itu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dalam Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Istana Besar Seri Menanti.

Turut berangkat ke istiadat berkenaan ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz serta Tunku Panglima Besar, Tunku Zain Al-’Abidin Tuanku Muhriz.

Dua EXCO yang terus diberi kepercayaan untuk menganggotai pentadbiran negeri ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli dan ADUN Palong, Datuk Mustapha Nagoor.

Sementara itu, lapan muka baharu yang menyertai barisan EXCO ialah ADUN Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris; ADUN Chennah, Siow Kong Choon; ADUN Labu, Siti Nur Umaira Hasim; ADUN Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin; ADUN Sungai Lui, Datuk Mohd Razi Mohd Ali; ADUN Gemencheh, Suhaimizan Bizar; ADUN Serting, Mohd Fairuz Mohd Isa serta ADUN Sikamat, Datuk Razali Abu Samah.

Istiadat itu turut disaksikan Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Klana Petra Muhammad Faris Johari; Undang Luak Rembau, Datuk Sedia Raja Hassan Ab Hamid serta Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 baru-baru ini, Barisan Nasional (BN) memenangi 18 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tujuh kerusi.

Keputusan itu membolehkan kedua-dua gabungan membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri.

BBerkaitan

Latest articles