KUALA LUMPUR: Prosiding pendakwaan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang dijadual berlangsung hari ini ditangguhkan ke 27 Ogos selepas beliau dilaporkan mengalami masalah kesihatan dan kini menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin selepas membenarkan permohonan peguam bela Ismail Sabri, Datuk Amer Hamzah Arshad, untuk menangguhkan prosiding pembacaan pertuduhan serta pengambilan pengakuan.
Menurut Amer Hamzah, Ahli Parlimen Bera itu mengalami komplikasi kesihatan ketika hadir memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam sebelum dikejarkan ke IJN untuk rawatan lanjut.
Beliau berkata, pemeriksaan doktor mendapati Ismail Sabri dipercayai mengalami masalah degupan jantung tidak sekata (arrhythmia) dan dijadual menjalani prosedur pemasangan perentak jantung pada jam 2 petang hari ini.
“Kami mengesahkan pertuduhan telah difailkan terhadap anak guam kami. Namun, beliau kini sedang menerima rawatan di IJN selepas mengalami masalah kesihatan ketika proses rakaman percakapan di SPRM semalam.
“Doktor memaklumkan beliau berkemungkinan mengalami arrhythmia dan pagi ini kami dimaklumkan beliau akan menjalani prosedur memasukkan perentak jantung. Justeru, kami memohon satu tarikh baharu bagi membolehkan pertuduhan dibacakan dan pengakuan direkodkan,” katanya di mahkamah.
Mahkamah kemudian menetapkan 27 Ogos sebagai tarikh baharu prosiding selepas mengambil kira keadaan kesihatan tertuduh serta persetujuan kedua-dua pihak.
Hakim Suzana berkata, penangguhan itu wajar memandangkan Ismail Sabri sedang dirawat di IJN dan tidak dapat hadir ke mahkamah.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan memaklumkan pihak pendakwaan telah memfailkan pertuduhan berserta dokumen berkaitan terhadap Ismail Sabri.
Katanya, walaupun tertuduh masih berada di bawah jaminan SPRM, beliau tidak dapat hadir ke mahkamah atas faktor kesihatan.
“Atas dasar kemanusiaan, adalah tidak adil untuk pihak pendakwaan membantah permohonan penangguhan yang dikemukakan pihak pembelaan,” katanya.
Pendakwaan terhadap Ismail Sabri dipercayai berkaitan siasatan berhubung isu perisytiharan harta, susulan beberapa sesi rakaman percakapan yang dijalani beliau sebelum ini di SPRM.
Sebelum ini, SPRM turut mengumumkan rampasan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta penyitaan 16 kilogram jongkong emas tulen dianggarkan bernilai RM7 juta dalam siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri itu.
Rampasan tersebut dilakukan menerusi serbuan di beberapa lokasi termasuk kediaman dan premis yang dipercayai dijadikan ‘rumah selamat’, hasil siasatan terhadap empat bekas pegawai kanan Ismail Sabri yang ditahan pada Februari tahun lalu.










