Ismail Sabri Didakwa Di IJN Hari Ini Berhubung Dakwaan Pengisytiharan Harta

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadualkan didakwa di Institut Jantung Negara (IJN) pagi ini selepas premis berkenaan diisytiharkan sebagai Mahkamah Sesyen bagi tujuan prosiding tersebut.

Prosiding membabitkan Ahli Parlimen Bera itu akan dijalankan mengikut peruntukan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Peguamnya, Ragunath Kesavan, mengesahkan perkara itu ketika dihubungi media.

“Ya, beliau kini berada di IJN. Timbalan Pendakwa Raya akan memohon supaya pengakuan beliau direkodkan di sana,” katanya.

Menurut beliau, semua pihak terlebih dahulu akan hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi mendapatkan perintah berkaitan sebelum prosiding pendakwaan diteruskan di IJN.

Difahamkan, pertuduhan terhadap Ismail Sabri mempunyai kaitan dengan siasatan berhubung perisytiharan harta yang sedang dijalankan SPRM.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri itu beberapa kali hadir ke ibu pejabat SPRM bagi memberikan keterangan berhubung pengisytiharan aset yang dibuatnya kepada suruhanjaya berkenaan.

Siasatan terhadap beliau turut mendapat perhatian selepas SPRM mengumumkan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta rampasan 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai RM7 juta.

Rampasan itu dibuat menerusi operasi penggeledahan di beberapa lokasi termasuk kediaman dan premis yang dipercayai dijadikan ‘rumah selamat’, susulan siasatan terhadap empat bekas pegawai kanan Ismail Sabri yang ditahan pada Februari tahun lalu bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram.

BBerkaitan

Latest articles