Tiga Wanita Malaysia Ditahan Di Jakarta, Polis Temui Dadah Disorok Dalam Kasut, Jaket, Beg

KUALA LUMPUR: Percutian tiga wanita warga Malaysia ke Indonesia berakhir dengan penahanan apabila pihak berkuasa negara itu menemui pelbagai bahan disyaki dadah yang disembunyikan dalam bagasi, pakaian serta kasut mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, kelmarin.

Ketiga-tiga wanita berusia antara 30 hingga 39 tahun itu ditahan sejurus tiba di Terminal 2F Ketibaan Antarabangsa selepas menaiki penerbangan dari Kota Kinabalu, Sabah.

Menurut laporan CNN Indonesia yang memetik kenyataan Direktorat Kastam dan Eksais Indonesia, pegawai pengesanan tingkah laku lapangan terbang mula mengesyaki gerak-geri mereka sebelum mengarahkan kesemua suspek menjalani pemeriksaan lebih rapi di laluan merah.

Hasil pemeriksaan menemukan beberapa jenis bahan disyaki dadah yang disorokkan di dalam beg peribadi, dompet, bungkusan ubat, poket jaket serta kasut yang dipakai.

Antara yang dirampas ialah empat bungkusan serbuk disyaki kokain dengan berat masing-masing 0.5 gram, 0.3 gram, dua gram dan 1.4 gram.

Turut ditemukan ialah pil disyaki mengandungi MDMA seberat 4.2 gram dan 2.4 gram, selain 1.8 gram serbuk dipercayai ketamin.

Pihak berkuasa turut merampas 16.9 gram tembakau gulung yang disyaki dicampur ketamin serta satu kartrij dipercayai mengandungi bahan sama.

Kes itu kini disiasat bersama Unit Siasatan Narkotik Polis Lapangan Terbang Soekarno-Hatta bagi mengenal pasti tujuan sebenar bahan berkenaan dibawa masuk ke Indonesia serta tindakan undang-undang yang akan diambil.

Nilai keseluruhan rampasan bagaimanapun masih belum didedahkan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan pihaknya telah dimaklumkan mengenai penahanan tiga wanita terbabit.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kesemua mereka berasal dari Sabah dan dipercayai berada di Indonesia bagi tujuan melancong.

Menurutnya, semakan turut mendapati dua daripada tiga wanita berkenaan mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.

“Hasil siasatan awal juga menunjukkan jumlah dadah yang dirampas adalah kecil dan dipercayai dibawa untuk kegunaan sendiri,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles